Nahas Pesawat: Bedah Siasat Selesai, Jenazah Diserah Kepada Wakil Keluarga Pagi Ini

nahas pesawat bedah siasat

Nahas Pesawat: Bedah Siasat Selesai, Jenazah Diserah Kepada Wakil Keluarga Pagi Ini

KLANG, 20 Ogos (Bernama) — Polis sudah mengesahkan identiti semua 10 mangsa nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Khamis lepas, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sembilan lagi mangsa adalah Shahrul Kamal Roslan, 41, Heikal Aras Abdul Azim, 45, Muhammad Taufik Mohd Zaki,37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, Idris Abdul Talib @ Ramali, 41, Sharipudin Shaari, 51 dan Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32.

“Saya ingin maklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Jabatan Kimia Malaysia telah selesai proses bedah siasat dan ujian pengecaman.

“Kita telah terima ujian DNA hampir kesemua sampel yang dihantar sebelum ini. Kita telah putuskan semalam yang semua mangsa yang terlibat dalam nahas itu telah dikenal pasti dan bersedia untuk diserahkan kepada wakil keluarga pada pagi ini,” katanya dalam sidang media terakhir di Jabatan Forensik HTAR di sini hari ini.

Katanya proses pengecam dan padanan yang digunakan adalah kaedah cap jari, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan odontologi (pengecaman identiti melalui gigi).

BACA JUGA: Dugaan 54 Hari Berpantang Buat Isteri, Salah Seorang Mangsa Nahas Elmina Baru Timang Cahaya Mata

Hussein turut mengesahkan bahawa tiada lagi mangsa lain yang terlibat selain daripada 10 mangsa nahas tersebut.

“Saya juga mengesahkan bahawa tiada lagi mana-mana individu yang terlibat dan terkorban dalam nahas itu, hanya 10 mangsa ini sahaja. Lapan mangsa dari dalam pesawat dan dua di  jalan raya berkenaan,” katanya.

Beliau berkata proses pengecaman serta padanan DNA agak sukar, dan pada mulanya ia dijangka mengambil masa sehingga tiga hari untuk disiapkan.

“Walaupun begitu, saya dapati semua proses itu dipermudahkan dan inilah yang paling cepat saya lakukan, kita dapat selesaikan sehari awal kerana (mulanya) kita jangka selesai pada hari Isnin. Alhamdulillah, banyak urusan itu dipermudahkan dan ia selesai pada tengah malam tadi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pengurusan jenazah seterusnya diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga selesai.

“Pasukan JAIS akan menerima jenazah ini pada pagi ini dan akan uruskan proses pengurusan mayat sehingga selesai. Solat jenazah akan diatur dengan kenderaan van jenazah yang telah diminta waris atau keluarga mereka selain polis akan menyedia polis pengiring sehingga ke destinasi,” katanya.

Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang Khamis lepas menyaksikan sebuah pesawat ringan terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang melalui tempat kejadian.

Sumber: BERNAMA

The post Nahas Pesawat: Bedah Siasat Selesai, Jenazah Diserah Kepada Wakil Keluarga Pagi Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*