Nik Nazmi tawar diri tanding Presiden

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada kongres yang dijadual berlangsung pada 7 September depan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan sudah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh korporat, profesional dan institusi kerajaan untuk bersama kelab gabungan mengemudi KLFA.

Katanya, sebagai peminat dan wakil rakyat, beliau turut terkesan dengan kemelut melanda pasukan KL City FC yang mendapat perhatian meluas akhir-akhir ini.

“Kami menawarkan diri untuk bertanding dalam kongres KLFA dan bersedia mendengar pandangan dari kelab gabungan serta penyokong KL City untuk kita sama-sama menjayakan cita-cita ini.

“Kami faham terlalu ramai orang politik datang dan pergi di KLFA tapi bagi kami, ini bukanlah satu medan populariti atau pun untuk meraih keuntungan.

“Hasrat kami menawarkan diri adalah di atas kesedaran, ini amanah besar untuk kembalikan kepercayaan peminat kepada Kuala Lumpur.

sumber: BH

“Bola sepak Kuala Lumpur berhak mendapat sesutau yang lebih baik, sudah sampai masanya kita kembalikan maruah bola sepak ibu kota,” katanya dalam video di laman Instagram miliknya.

Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad meletak jawatan pada Mac lalu.