ALOR SETAR: Meskipun dihimpit dengan isu tunggakan gaji, pemain Kedah Darul Aman tetap menunjukkan sikap profesionalisme mereka apabila turun menjalani latihan menjelang aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman, petang semalam.
Seramai 14 pemain turun menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain walaupun sebelum ini, media melaporkan pemain Sang Kenari buat kali kedua memboikot sesi latihan selepas seri 2-2 dengan Sri Pahang di laman sendiri pada 21 September lalu.
Walaupun latihan itu tidak dihadiri sepenuhnya oleh pemain, tetapi sesi berkenaan tetap berjalan lancar sekitar jam 5.30 petang walaupun dalam suasana hujan.
Menurut sumber, pemain lain juga dijangka akan turun menyertai latihan bersama pasukan selepas urusan peribadi masing-masing selesai.
“Semua sedia maklum dengan keadaan situasi dan isu kewangan yang dihadapi pasukan ini tapi pemain Kedah dilihat tetap profesional untuk hadir menjalani latihan petang ini,” katanya.
Tindakan memboikot sesi latihan sebelum ini adalah disebabkan pengurusan pasukan masih gagal mengatasi isu tunggakan gaji.
Antara pemain yang hadir ketua pasukan, Sony Norde selain semua pemain import – Milos Gordic, Jose Cleylton, Sukhrob Nurullaev dan Ebenezer Assifuah.
sumber: BH
Turut kelihatan Rizal Ghazali, Wan Amirul Afiq, Akmal Zahir, Ariff Farhan, Kamil Akmal, Fayadh Zulkifli, Loqman Hakim, Aiman Afif dan Heshamudin Ahmad.