Penumpang Jadi Tebusan Di Kuwait Pada 1990 Sedia Saman Kerajaan UK, British Airways

penumpang tebusan kuwait

Penumpang Jadi Tebusan Di Kuwait Pada 1990 Sedia Saman Kerajaan UK, British Airways

LONDON, 12 Sept (Bernama-dpa) — Penumpang dan anak kapal British Airways (BA) yang dijadikan tebusan di Kuwait pada 1990 kini bersiap sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan United Kingdom dan syarikat penerbangan itu, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik firma guaman McCue Jury and Partners.

Firma guaman itu berkata ia mewakili mangsa yang ingin memastikan “kebenaran didedahkan sepenuhnya” dan “pampasan dibayar sewajarnya” kerana membenarkan penerbangan itu mendarat.

Penerbangan 149 British Airways mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada awal pagi 2 Ogos 1990, ketika angkatan bersenjata Iraq sedang melakukan serangan.

Lebih 300 penumpang telah ditahan oleh tentera Iraq, menandakan permulaan pahit yang berlarutan hampir lima bulan kerana mereka digunakan oleh Saddam Hussein sebagai “perisai manusia” melawan serangan barat.

Kerajaan UK menegaskan “tanggungjawab” mengenai apa yang telah berlaku “terletak sepenuhnya” pada pihak berkuasa Iraq pada masa itu, manakala BA mendakwa pihaknya “tidak diberi amaran mengenai pencerobohan itu”.

BACA: Papua New Guinea: Profesor Australia Ditahan, Dijadikan Tebusan

Dokumen yang dikeluarkan pada November 2021 menunjukkan bahawa Pejabat Luar UK telah diberi amaran oleh duta Britain di Kuwait bahawa tentera Iraq telah menyeberangi sempadan sejam sebelum penerbangan itu membuat pendaratan.

Maklumat itu tidak pernah diserahkan kepada BA, dan tidak dapat mengambil tindakan untuk mengubah haluan penerbangan, menurut fail Kementerian Luar yang dikeluarkan kepada Arkib Negara.

Terdapat dakwaan bahawa sekumpulan 10 lelaki pertama turun ketika pesawat mendarat adalah tentera Pasukan Khas, tetapi ia dinafikan oleh kerajaan UK.

Bagaimanapun, McCue Jury and Partners mendakwa ” terdapat bukti” bahawa kerajaan dan BA “tahu pencerobohan telah bermula” apabila mereka membenarkan pesawat itu mendarat kerana ia didakwa digunakan untuk menempatkan pasukan khas ke Kuwait “bagi operasi ketenteraan khas”.

Firma itu merayu agar lebih ramai penumpang dan anak kapal penerbangan itu menyertai tuntutan itu, untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi di London dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ia berkata setiap tebusan “boleh menuntut ganti rugi sekitar purata £170,000 (US$212,000)

Sumber: BERNAMA

The post Penumpang Jadi Tebusan Di Kuwait Pada 1990 Sedia Saman Kerajaan UK, British Airways appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*