Penyelidik USM, JWN Temukan Arca, Prasasti Di Tapak Arkeologi Bukit Choras, Yan

arca Prasasti bukit Choras

Penyelidik USM, JWN Temukan Arca, Prasasti Di Tapak Arkeologi Bukit Choras, Yan

YAN, 22 Sept (Bernama) — Pasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemukan dua arca hampir lengkap dan prasasti (batu bertulis) selain serpihan tembikar tanah yang dianggar berusia kira-kira 1,200 tahun, di Tapak Arkeologi Bukit Choras, di sini.

Penemuan oleh pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM yang turut bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) itu adalah ketika melakukan kerja-kerja ekskavasi dan penyelidikan di puncak bukit itu antara 28 Ogos hingga 12 Sept lepas.

Pensyarah Kanan PPAG Dr Nasha Rodziadi Khaw yang mengetuai penyelidikan ekskavasi di tapak arkeologi itu berkata pentarikhan awal yang dicadangkan bagi tapak candi itu adalah sekitar abad kelapan atau kesembilan Masihi iaitu sezaman dengan kebanyakan tapak candi lain di Lembah Bujang dan perkembangan zaman Srivijaya.

“Keistimewaan candi di tapak arkeologi ini, yang pertama ialah keadaannya yang masih terpelihara, kami boleh nampak keadaan dinding di bahagian utara, barat dan selatan sangat terpelihara bentuknya.

“Kedua, kami telah menemui dua buah patung (arca) yang bersaiz manusia yang diperbuat daripada bahan yang dikenali sebagai stucco…dan penemuan stucco masih belum dilaporkan di Lembah Bujang dan kami cuma ada (penemuan) di Sumatera dan Jawa sahaja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan kajian awal wujud persamaan seni bina candi di Bukit Choras dengan candi-candi di Jawa Barat dan Sumatera sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hubungan kebudayaan antara Kedah Tua dengan tapak-tapak lain di Asia Tenggara.

Katanya, candi tersebut dianggar berkeluasan sembilan meter persegi namun saiz sebenarnya hanya dapat disahkan selepas kerja-kerja ekskavasi, yang kini berada pada tahap 40 peratus, selesai sepenuhnya.

Kredit Facebook

Nasha berkata tapak arkeologi Bukit Choras itu juga disifatkan sebagai istimewa kerana kedudukannya yang terasing di utara Gunung Jerai, manakala tapak-tapak arkeologi lain di Lembah Bujang kebanyakannya terletak di selatan Gunung Jerai iaitu di kawasan sekitar Sungai Merbok dan Sungai Muda.

Tambah beliau pihaknya masih memerlukan banyak lagi kajian di tapak tersebut yang mungkin memerlukan tempoh beberapa tahun lagi sebelum kesimpulan sepenuhnya dapat dibuat berhubung tapak arkeologi itu.

Kredit Facebook

“Kami harap ekskavasi kami seterusnya akan dapat memberikan lebih banyak data lagi yang dapat menyumbang untuk pengetahuan kita tentang sejarah Kedah Tua,” katanya yang turut memberitahu candi tersebut juga dipercayai yang paling besar yang pernah ditemui setakat ini di Lembah Bujang dan mempunyai seni bina yang agak menarik.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed pula berkata pasukan penyelidik daripada universiti itu telah menjalankan ekskavasi tapak-tapak arkeologi di Lembah Bujang sejak 10 tahun lalu dan dilakukan dengan bantuan dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Jadi kami bekerjasama dengan JWN dan juga pihak yang berkenaan bagaimana kita nak kembangkan pelancongan arkeo kita, satu lagi penulisan sejarah yang sebelum ini banyak kita dapat daripada pengkaji barat, tapi sekarang dengan penemuan ini ia dapat ditambah baik,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Warisan Mohd Azmi Mohd Yusof berkata penemuan arca dan prasasti serta serpihan tembikar tanah di tapak arkeologi itu dapat mengangkat lokasi itu untuk dijadikan sebagai satu produk pelancongan seperti tapak arkeologi yang lain.

Menurutnya, penemuan itu adalah yang terbaharu oleh pasukan penyelidik dengan kerjasama JWN selepas wabak COVID-19 yang melanda negara selama dua tahun.

“Kami juga panggil hari ini pihak kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kaedah kita untuk memelihara kawasan ini supaya tapak ini boleh dijadikan satu produk pelancongan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Penyelidik USM, JWN Temukan Arca, Prasasti Di Tapak Arkeologi Bukit Choras, Yan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*