Kuala Terengganu: “Kami harap pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) dapat menilai semula prestasi pertahanan import, Mathew Steenvoorden yang dilihat gagal memberikan impak positif buat pasukan,” kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin.
Menurutnya, prestasi Steenvoorden tidak setaraf dengan pemain import dan menggesa digantikan dengan pemain import lain susulan prestasi hambanya ketika skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu dibelasah 1-4 oleh Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu.
Jelas Mohd Isa, tidak keterlaluan boleh dikatakan bekas pemain kebangsaan Belanda Bawah 16 dan 19 Tahun itu seolah-olah sebagai ‘penumpang’ dalam pasukan ketika pemain pertahanan tempatan memberikan komitmen tinggi setiap kali diturunkan.
Katanya, bolos 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor FC jelas membuktikan kerapuhan benteng pertahanan yang diketuai pemain import itu.
“Ramai yang mengecam terutama dalam laman sosial mengenai mutu permainan Steenvoorden yang dilihat kurang berkualiti sebagai pemain import berbanding pemain tempatan yang jauh lebih baik.
“Rata-rata memberikan reaksi satu pelaburan begitu merugikan membeli pemain import sepertinya lebih-lebih lagi sebelum ini terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang dialaminya.
“Buktinya ketika berdepan Selangor FC pada Sabtu lalu dan aksi terdahulu ketika menentang JDT dan Negeri Sembilan pemain itu gagal melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan hanya ‘ball watching’ pada beberapa ketika.
sumber: HM
“Justeru kami para penyokong mengharapkan pihak pengurusan membuat pertimbangan sewajarnya dan menilai semula prestasi pemain itu bagi memastikan TFC terus berdaya saing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan juga Piala Shoppe peringkat ASEAN,” katanya.