Perarakan Chingay: Beberapa Jalan Ditutup 23, 30 Disember

Perarakan Chingay

Perarakan Chingay: Beberapa Jalan Ditutup 23, 30 Disember

GEORGE TOWN, 21 Dis (Bernama) — Perarakan Chingay yang menjadi acara tahunan dalam kalendar pelancongan Pulau Pinang kembali lagi melibatkan dua lokasi di Seberang Perai dan bahagian pulau pada 23 dan 30 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata susulan itu beberapa laluan terlibat akan ditutup beberapa jam sehingga acara tamat.

“Di Seberang Perai, perarakan akan diadakan pada 23 Dis bermula dari Padang Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Bagan Luar dekat Butterworth hingga ke Kuil Tow Boo Kong bermula 7 hingga 11.30 malam.

“Perarakan akan melalui Jalan Bagan Luar, Jalan Telaga Air, Jalan Raja Uda, justeru jalan yang terlibat itu akan ditutup sementara bagi memastikan kelancaran acara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata perarakan Chingay di bahagian pulau pula akan diadakan pada 30 Dis pada 7 hingga 11 malam, bermula dari Padang Brown dan berakhir di Lebuh Light.

BACA JUGA: Pelaksanaan DLP Martabat Bahasa Melayu, Perkukuh Bahasa Inggeris – Fadhlina

Jalan yang akan ditutup adalah Jalan Johor, Jalan Penang, Jalan Burma, Jalan Transfer, Jalan Sri Bahari, Jalan Chulia, Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Light, katanya.

Wong berkata perarakan itu turut menampilkan tarian singa dan naga selain persembahan kebudayaan Melayu dan India bagi meraikan kepelbagaian kaum di negeri ini dengan persembahan bunga api sebagai acara kemuncak.

Menurut beliau, sebanyak 33 pasukan mengambil bahagian pada perarakan di Butterworth manakala 45 pasukan di bahagian pulau.

“Perarakan ini bukan sekadar meraikan pesta kebudayaan tetapi juga dapat menyatukan serta mengukuhkan masyarakat sebagai sebuah komuniti.

“Saya juga berharap suatu hari nanti acara ini akan diangkat dan diiktiraf sebagai salah satu warisan kebudayaan tidak ketara (intangible cultural heritage) Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Perarakan Chingay: Beberapa Jalan Ditutup 23, 30 Disember appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*