Kuala Lumpur: Adakah Harimau Malaya akan beraksi di stadium kosong tanpa kehadiran ‘pemain ke-12’ terutamanya Ultras Malaya (UM) selepas berlaku satu gerakan agresif memboikot kejohanan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung dari 4 hingga 8 September ini?
Perkara itu terjadi apabila beberapa UM dari Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi untuk memboikot kejohanan itu dan menyeru agar peminat bola sepak tidak turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nanti.
Menurut UM dari Pahang yang dikenali sebagai Ultras Army, mereka mengambil pendirian sedemikian dek kerana begitu kecewa dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwa gagal menguruskan beberapa perkara berkenaan bola sepak di Malayasia.
“Kes jenayah ke atas pemain-pemain negara yang tidak diselesaikan, peletakan jawatan mengejut dari ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dan kes serangan ke tas penyokong bola sepak negara,” katanya menerusi kenyataan rasmi di Instagram.
Selain Ultras Army, ultras daripada negeri Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan termasuk UM’07 mengambil pendekatan sama untuk tidak bersama-sama berada di SNBJ nanti.
“Sakit dan terus sakit. Biar je jangan diubat. Kosongkan Stadium! Tutup Curva Pestabola Merdeka,” tulis UM’07 di Facebook mereka.
Untuk rekod, tahun 2024 menyaksikan pelbagai isu melanda bola sepak Malaysia termasuk serangan ke atas pemain bola sepak negara seperti Akhyar Rashid dan paling teruk melibatkan pemain Selangor FC, Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
sumber: HM
Hingga kini, tiada perkembangan membela pemain berkenaan selain kepincangan Liga Malaysia membuatkan ultras seluruh Malaysia terpaksa bertindak sedemikian untuk memberi pengajaran kepada FAM.