PRU15: Mohd. Azizi terima fail petisyen Ku Li

GUA MUSANG – Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim mengakui beliau menerima petisyen yang difailkan oleh wakil calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah bagi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mencabar keputusan pada pilihan raya yang lalu.

Mohd. Azizi yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang berkata, dia sudah menerima petisyen berkenaan pada Selasa lalu dan menghormati tindakan berkenaan serta menyifatkan setiap calon yang tidak berpuas hati mempunyai hak untuk mengemukakan petisyen.

“Pada pagi ini pula, saya telah buat susulan dengan salah seorang peguam. Oleh itu, saya akan menubuhkan pasukan untuk lawan semula kes ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Azizi memberitahu, beliau yakin dengan kebenaran dan menyerahkan segala keputusan mengikut lunas sistem perundangan.

Media hari ini melaporkan, wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang itu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, bagi mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen berkenaan yang difailkan oleh Mohd. Azmi Mahmood pada 3 Januari lalu.

Dalam petisyen itu, Mohd. Azmi menerusi barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman menamakan tiga responden iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab. Patah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Mohamed Baharudeen, petisyen berkenaan meminta supaya keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen itu. – KOSMO! ONLINE

The post PRU15: Mohd. Azizi terima fail petisyen Ku Li appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*