Putera Harry undang kritikan, diminta diam

LONDON – Monarki Britain, Putera Harry berdepan kritikan kelmarin berhubung buku me­moir beliau, Spare, termasuk daripada media, pengulas, vete­ran tentera, malah kumpulan Ta­liban, namun Istana Buckingham memilih berdiam diri.

Beberapa hari sebelum tarikh penerbitan rasminya Selasa ini, kandungan buku itu bocor dan tersebar meluas serta mendominasi tajuk berita media cetak dan elektronik. Ia berikutan versi bahasa Sepanyol memoir itu yang dijual lebih awal secara tidak sengaja di Sepanyol.

Antara pendedahan yang mengundang kecaman dan ejekan itu termasuk dakwaan serangan fizikal terhadap dirinya oleh pewaris takhta, Putera William, bagaimana beliau hilang teruna, mengambil dadah dan membunuh 25 orang di Pakistan.

Seorang penulis, A.N. Wilson menggelar buku memoir itu sebagai hasil kerja ‘berniat jahat’ dan ‘keji’. Menyifatkan keputusan Harry membuat pendedahan kepada umum sebagai ‘tidak cerdik’, Wilson berkata, buku itu hanya berjaya membuatkan orang ramai bersimpati kepada keluarga diraja Britain dan bukan ‘dengan dirinya’.

Spare adalah serangan lisan terbaharu oleh Harry dan isteri­nya yang merupakan warganegara Amerika Syarikat (AS), Meghan selepas mereka berundur daripada peranan diraja dan berpindah ke negeri California dalam tahun 2020.

Mereka yang memakai gelaran rasmi Duke dan Duchess of Sussex sejak itu, menggunakan pertalian diraja untuk mendapatkan banyak kontrak lumayan untuk membuat pendedahan menerusi buku dan program media lain.

Versi bahasa Sepanyol Spare segera ditarik balik selepas kesilapan berlaku Khamis lalu, namun sebilangan naskah buku berkenaan telah dibeli pihak media sekali gus melanggar larangan pendedahan seluruh dunia oleh penerbitnya.

Akhbar Britain, The Sun menyatakan bahawa simpati orang ramai kepada Harry atas kehilangan bondanya, Puteri Dia­na tidak dapat menjadi justifikasi kepada ‘jalan dendam dan kemusnahan’ yang beliau pilih sehingga sanggup mencemarkan nama baik keluarga demi wang berjuta-juta dolar.

Dalam ruangan lidah pe­ngarangnya, akhbar sama me­nunjukkan ‘percanggahan tidak terbilang’ berhubung dakwaan Harry dan menggesa monarki itu mendengar nasihat rakan-rakan supaya beliau ‘berhenti untuk kebaikan dirinya sendiri’.

Akhbar Guardian pula me­nyatakan bahawa buku itu bukan lagi menumpukan kepada minat pembaca tetapi mendedahkan aib keluarga sendiri kepada umum.

Edisi AS akhbar berkenaan adalah yang pertama menyiarkan kandungan bocor dalam buku tersebut minggu ini, memaparkan Harry bercerita tentang pergaduhannya dengan William.

“Cerita tentang beliau ditum­buk abangnya di sebuah kotaj istana adalah remeh dan sedih,” kata wartawan Guardian, Gaby Hinsliff.

Dakwaan Harry bahawa beliau telah membunuh 25 orang di Afghanistan dan menyamakan tindakannya seperti ‘membuang buah catur daripada papan catur’ turut dilihat sebagai angkuh dan tidak wajar serta mencetuskan kemarahan sesetengah ve­teran tentera.

Kolonel bersara, Tim Collins yang mengetuai sebuah bata­lion Britain di Iraq pada 2003, mengecam buku tersebut sambil menambah: “Ini bukan kelakuan dalam tentera. Harry telah berpaling tadah kepada satu lagi keluarganya, pihak tentera yang pernah mengalu-alukannya, selepas beliau meminggirkan keluarga kandungnya.”

Seorang lagi veteran berpangkat tinggi yang berkhidmat di Afghanistan, Kolonel Richard Kemp berkata, komen Harry akan dijadikan propaganda oleh militan dan kumpulan Islam.

Dalam pada itu, pegawai kanan Taliban, Anas Haqqani menyiarkan komen di laman Twitter menyatakan: “Encik Harry! Mereka yang anda bunuh bukannya buah catur, mereka ialah manusia; Mereka mempunyai keluarga yang menunggu kepulangan mereka.”

Ketika tanda pagar bermaksud #DiamlahHarry mula menjadi trend di Twitter akhbar The Sun memetik sumber yang rapat dengan bapanya, Raja Charles III sebagai berkata, baginda kecewa dengan buku tersebut. Bagaimanapun, pihak istana tidak memberikan barang kenyataan rasmi. – AFP

The post Putera Harry undang kritikan, diminta diam appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*