Rakyat Teruja Hadir Majlis Memperingati Tun Dr Ismail, Tanam Rasa Cinta Kepada Negara

Rakyat Teruja Hadir Majlis Memperingati Tun Dr Ismail, Tanam Rasa Cinta Kepada Negara

Rakyat Teruja Hadir Majlis Memperingati Tun Dr Ismail, Tanam Rasa Cinta Kepada Negara

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) — Usaha mengangkat jasa negarawan antaranya Tun Dr Ismail Al-Haj perlu diteruskan supaya generasi muda lebih menghargai sumbangan mereka dalam memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara ini.

Beberapa pengunjung Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara ketika ditemui Bernama berkata mereka masih mengingati tokoh ini walaupun sudah 50 tahun beliau meninggal dunia.

Yahya Mohamad Hassan, 62, dari Pulau Pinang hadir pada program itu yang diadakan di Dataran Merdeka di sini hari ini, selepas melihat iklan yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.

“Allahyarham meninggal dunia pada 1973 dan seingat saya sejarah beliau sangat dikenali dengan perwatakan yang tegas. Sesuatu yang dikatakan tidak akan berubah ibarat sekiranya A…A lah.

“Sekiranya pegawai kerajaan di bawah beliau ada yang makan rasuah tindakan beliau sama seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas menentang rasuah. Sewaktu beliau meninggal ramai yang meratapi pemergian Allahyarham,” katanya.

Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara itu yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan, bermula pada 9 pagi hingga 4 petang.

Memaparkan tiga segmen utama iaitu ‘wall of memories’ yang mempamerkan gambar, teks ucapan, busana serta koleksi peribadi Dr Ismail selain persembahan tradisional antaranya rebab, ghazal dan silat.

Seorang lagi pengunjung, J. Lawrence, 61, berkata program ini mampu memupuk semangat perpaduan dan mewujudkan rasa cinta kepada negara.

“Sejarah Tun Dr Ismail berlaku semasa saya masih muda dan apa yang saya ingat sewaktu itu beliau seorang timbalan perdana menteri dan sangat berjaya dalam menyatu padu rakyat terutama sekali usaha beliau selepas kemerdekaan,” kata pesara itu.

Hanis Nasuha Hamdan, 26, berkata program ini memberi peluang kepada rakyat tidak kira muda atau tua mengenali tokoh ini yang banyak berjasa kepada negara.

“Program ini bagus sebab kita mengajak rakyat untuk memperingati jasa tokoh-tokoh. Di Malaysia kita mempunyai ramai negarawan, majlis sebegini wajar diadakan setiap tahun supaya generasi muda tahu tentang sejarah negara,” katanya.

Shara Shalom Anak Johnny, 21, pelajar yang berasal dari Sarawak mengunjungi Dataran Merdeka bersama rakan-rakannya untuk melihat reruai yang tersedia sejak awal pagi tadi.

“Aktiviti atau program seperti ini wajar diadakan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan anak muda,” katanya.

Wan Afarihaa Ahmad, 14, pelajar, berkata dia menghadiri majlis memperingati negarawan Tun Dr Ismail itu sebagai aktiviti lawatan sekolahnya.

“Saya tahu serba sedikit mengenai tokoh negarawan ini. Program mengenang jasa tokoh negara sangat menarik bagi saya kerana antara mata pelajaran yang saya minati ialah Sejarah,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, pelajar Defnie Liew Hin Yee, 18, berkata program seperti ini wajar diteruskan kerana mampu mengeratkan silaturrahim selain meningkatkan rasa cinta kepada negara.

BACA: Ini Cara Nak Buat Lesen Bas & e-Hailing Secara Percuma, Rujuk 6 Syarat Ni Dulu

Sumber: Bernama

The post Rakyat Teruja Hadir Majlis Memperingati Tun Dr Ismail, Tanam Rasa Cinta Kepada Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*