Ramadan Tiba, Ketahui Tradisi Unik Sambutan Bulan Ramadan Oleh Umat Islam Di Beberapa Negara

tradisi unik sambutan ramadan

Ramadan Tiba, Ketahui Tradisi Unik Sambutan Bulan Ramadan Oleh Umat Islam Di Beberapa Negara

Bulan Ramadan merupakan bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Bulan Ramadan adalah bulan di mana umat Islam dikehendaki untuk menjalani ibadat puasa dari terbitnya matahari sehinggalah terbenamnya matahari.

Ia juga termasuk dalam lima rukun Islam dan wajib bagi semua umat Islam yang berkemampuan untuk mengerjakannya. Di bulan Ramadan ini kita umat Islam juga akan berpuasa selama 29 atau 30 hari bergantung kepada penampakan bulan baharu.

Bulan Ramadan bukan sahaja disambut oleh umat Islam di negara kita. Malah ia disambut oleh umat Islam di seluruh dunia.

Oleh itu, terdapat pelbagai cara dan tradisi sambutan yang boleh kita lihat dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi meraikan bulan yang mulia ini.

Tradisi unik sambutan ramadan

Justeru mari kita ikuti tradisi unik yang diamalkan oleh beberapa negara yang terpilih dalam perayaan sambutan bulan Ramadan.

Lubnan

Banyak negara di seluruh Timur Tengah menembak meriam setiap hari pada bulan Ramadan bagi menandakan berakhirnya puasa pada hari tersebut.

Tradisi ini, yang dikenali sebagai midfa al iftar dikatakan bermula di Mesir lebih 200 tahun yang lalu, ketika negara itu ditadbir oleh pemerintah Uthmaniyyah Khosh Qadam.

Permulaan kepada tradisi itu dipercayai berlaku semasa Qadam cuba menguji meriam baru pada waktu matahari terbenam secara tidak sengaja. Bunyi dentuman yang kuat itu telah bergema di seluruh Kaherah dan orang ramai menganggap ia sebagai cara baharu untuk menandakan waktu buka puasa.

Ekoran daripada peristiwa itu, anak perempuannya Haja Fatma akhirnya menggesanya untuk menjadikan acara itu sebagai tradisi di bulan Ramadan.

Kredit Facebook

Tradisi itu telah merebak ke seluruh Timur Tengah termasuk Lubnan, di mana meriam akhirnya digunakan oleh Uthmaniyyah untuk menandakan iftar di seluruh negara.

Namun tradisi itu akhirnya dipercayai telah hilang pada tahun 1983 selepas berlakunya pencerobohan yang membawa kepada rampasan beberapa meriam.

Tradisi itu kemudiannya dikatakan dihidupkan semula oleh tentera Lubnan selepas perang malah ia berterusan sehingga hari ini. Tradisi itu dihidupkan bagi membangkitkan nostalgia di kalangan generasi tua yang merindui zaman kanak-kanak mereka.

Pakistan

Tradisi unik seterusnya adalah dari Pakistan, di mana kaum wanita disana akan berkumpul pada malam hari sebelum Raya bagi berhias diri.

Perayaan Chaand Raat di Pakistan akan dilakukan selepas penampakan bulan baharu yang menandakan ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang pertama.

Selepas berbuka, kaum wanita di sana akan berpusu-pusu pergi ke bazar tempatan untuk membeli gelang berwarna-warni dan melukis inai di tangan dan kaki mereka.

Berdasarkan tradisi ini, peniaga akan menghiasi kedai mereka dan akan dibuka sehingga awal pagi menjelang Aidilfitri.

Kredit Flickr.comphotoskarach

Wanita tempatan juga akan menyediakan perkhidmatan melukis inai berhampiran dengan kedai barang kemas, supaya mereka boleh menarik pelanggan.

Suasana di pasar yang sesak ketika Chaand Raat adalah bukti semangat kemasyarakatan yang meriah untuk menyambut hari raya pada hari berikutnya.

Indonesia

Bagi umat Islam di Indonesia pula, mereka mempunyai tradisi yang unik di mana mereka melakukan ‘pembersihan’ diri pada hari sebelum Ramadan bermula.

Beberapa kawasan Jawa Tengah dan Jawa Timur masih mengekalkan tradisi penyucian yang dipanggil ‘padusan’ ini.

Padusan bermaksud mandi dalam dialek Jawa dilakukan oleh umat Islam Jawa dengan cara merendamkan diri mereka ke dalam mata air. Ia dilakukan dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki.

Padusan adalah bukti sintesis agama dan budaya di Indonesia. Mata air mempunyai makna rohani yang mendalam dalam budaya Jawa dan merupakan sebahagian daripada penyucian untuk bulan suci.

Kredit Kompas.com

Amalan ini dipercayai disebarkan oleh Wali Songo, sekumpulan pendeta yang dihormati dan merupakan mubaligh pertama yang menyampaikan ajaran Islam.

Ia sudah menjadi kebiasaan untuk orang tua dan ketua agama tempatan untuk memilih dan menetapkan mata air suci bagi tradisi padusan tersebut.

Namun kini, ramai yang hanya pergi ke tasik dan kolam renang berdekatan untuk menyucikan diri mereka.

BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja

Morocco

Semasa Ramadan, kawasan kejiranan Maghribi akan didatangi oleh nafar iaitu seorang yang bertindak sebagai pencanang.

Wakil tersebut akan mendatangani penduduk dengan memakai pakaian tradisional gandora, selipar dan topi bagi menandakan permulaan fajar dengan melodinya.

Nafar dipilih oleh penduduk bandar kerana kejujuran dan empatinya. Nafar akan berjalan di jalan sambil meniup hon untuk membangunkan penduduk untuk bersahur.

Tradisi ini dipercayai telah tersebar di seluruh Timur Tengah hingga Maghribi, bermula pada abad ketujuh. Ia dikatakan bermula selepas seorang sahabat Nabi Muhammad yang berjalan pada waktu subuh sambil menyanyikan doa yang merdu.

Apabila muzik nafar kedengaran di seluruh bandar, ia disambut dengan rasa syukur. Nafar itu tadi juga akan diberi bayaran oleh masyarakat pada malam terakhir Ramadan.

Afrika Selatan

Berakhirnya Ramadan akan ditandai dengan terlihatnya hilal pertama bulan. Walaupun ia diamalkan di seluruh dunia, tradisi di Afrika Selatan yang dikenali sebagai maan kyker adalah sangat unik.

Di mana umat Islam di seluruh Afrika Selatan akan menuju ke Cape Town untuk melihat anak bulan. Namun hanya ‘maan kykers’ yang dilantik oleh Majlis Kehakiman Muslim Afrika Selatan yang boleh mengisytiharkan penampakan tersebut.

Ketibaan Aidilfitri hanya boleh diumumkan oleh ‘maan kykers’ yang dilantik dan bulan mesti dilihat dengan mata kasar pada malam tersebut.

Kredit Facebook Voice of The Cape Radio

Turkiye

Sejak zaman Empayar Uthmaniyyah, mereka yang berpuasa pada bulan Ramadan akan bangun apabila terdengar bunyi paluan gendang pada awal pagi untuk sahur.

Walaupun dengan peredaran masa yang berlaku seperti penciptaan jam penggera, namun tradisi unik ini sehingga kini masih tetap diamalkan di Turkiye.

Dipercayai lebih 2,000 pemain drum masih berkeliaran di jalan-jalan bandar Turkiye, menyatukan masyarakat tempatan semasa bulan suci.

Pemain drum akan memakai pakaian tradisional Uthmaniyyah, termasuk fez dan rompi yang kedua-duanya dihiasai dengan motif tradisional. Semasa mereka berjalan dengan davul (gendang berkepala dua Turkiye), pemain akan diberikan tip oleh penduduk yang bermurah hati.

Penduduk mempercayai bahawa tip atau Bahsis yang diberi kepada pemain drum akan mendatangkan tuah kepada mereka.

Mesir

Setiap tahun, rakyat Mesir menyambut Ramadan dengan fanous berwarna-warni. Fanous ialah tanglung unik yang melambangkan perpaduan dan kegembiraan sepanjang bulan suci.

Walaupun tradisi ini lebih kepada budaya, ia telah dikaitkan dengan bulan suci Ramadan yang mementingkan kesihatan rohani.

Kisah permulaan kepada kewujudan fanous adalah ketika satu malam semasa dinasti Fatimiya menyambut Khalifah Al-Mu’izz li-Din ketika tiba di Kaherah pada hari pertama Ramadan.

Kredit Make Heritage Fun

Untuk menyambut khalifah tersebut, pegawai tentera telah mengarahkan penduduk tempatan untuk memegang lilin di jalan-jalan yang gelap. Lilin tersebut akan dilindungi dalam bingkai kayu bagi mengelakkannya daripada terpadam ditiup angin.

Dari masa ke masa, struktur kayu ini muncul menjadi tanglung bercorak, dan kini ia dipamerkan di seluruh negara bagi meraikan ketibaan bulan suci.

India

Tradisi seheriwalas di Delhi adalah sebahagian daripada tradisi Muslim yang bertahan sehingga kini mewakili budaya dan warisan Mughal lama di bandar itu.

Pada bulan Ramadan yang mulia, para seheriwala akan berjalan-jalan di kota pada waktu pagi sambil menyebut nama Allah dan Rasul. Ia merupakan sebagai panggilan bagi umat Islam untuk bangun sahur.

Amalan ini masih dijalankan di bahagian Old Delhi, terutamanya di kawasan kejiranan yang mempunyai penduduk Islam yang ramai.

Kredit Times of India

Mereka akan mula berjalan seawal jam 2.30 pagi dan sering membawa kayu atau rotan untuk mengetuk pintu dan dinding rumah penduduk. Bagi kebanyakan seheriwala, tradisi itu telah diturunkan dari generasi ke generasi.

Rom

Selama berabad, masyarakat Islam Rom yang berasal dari Empayar Uthmaniyyah telah mengumumkan permulaan dan akhir puasa dengan lagu tradisional.

Setiap hari sepanjang bulan Ramadan, mereka akan berarak di jalanan untuk bermain gendang silinder buatan sendiri daripada kulit biri-biri atau kambing.

Keluarga Islam kebiasaannya akan menjemput mereka masuk ke dalam rumah untuk bermain badala tradisional bagi meraikan permulaan berbuka puasa.

Sumber: The Culture Trip

The post Ramadan Tiba, Ketahui Tradisi Unik Sambutan Bulan Ramadan Oleh Umat Islam Di Beberapa Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*