Restoran Nasi Kandar Terbakar, Seorang Melecur

Restoran Nasi Kandar Hangus

Restoran Nasi Kandar Terbakar, Seorang Melecur

Seorang pekerja sebuah restoran nasi kandar nyaris maut apabila hampir separuh badannya melecur dalam kebakaran di Jalan Bangsar Utama di sini, lapor Sinar Harian.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian restoran terbakar pada jam 11.44 pagi.

“Seramai 44 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Seputeh, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas bersama beberapa buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 11.51 pagi mendapati kebakaran melibatkan sebuah restoran nasi kandar berkeluasan 40×100 kaki persegi dan terbakar 70 peratus,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Tambah Mohd Shahrir Azizi, mangsa melibatkan seorang lelaki berumur 45 tahun dipercayai pekerja restoran terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Anggaran awal dari pihak hospital memaklumkan 80 peratus badan mangsa melecur akibat kebakaran,” ujarnya.

Jelasnya lagi, usaha memadamkan kebakaran dilakukan bagi mengelakkan ia merebak ke bangunan berhampiran.

“Kebakaran dikawal pada jam 12.08 tengah hari dan dipadamkan sepenuhnya pada 12.40 tengah hari.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” kata Mohd Shahrir Azizi.

Gambar: Bomba KL

Sementara itu, pelanggan restoran itu yang mahu dikenali sebagai Khalid, 36, berkata semasa kejadian dia sedang menikmati nasi kandar di restoran berkenaan.

“Saya terus melarikan diri keluar dari restoran sebaik sahaja dengar bunyi letupan kuat,

“Baru saja beberapa suap nasi, tiba-tiba saya dengar bunyi letupan, memang tak fikir panjang terus lari keluar dari restoran ini,” jelasnya kepada wartawan Sinar Harian.

Manakala pelanggan yang mahu dikenali sebagai Idris, 40,  menjelaskan kejadian berlaku dengan sekelip mata, tetapi dia bersama beberapa rakannya yang lain berjaya selamatkan diri.

“Restoran ini salah satu lokasi pilihan saya terutamanya ketika makan tengah hari, tak sangka boleh jadi sebegini.

“Masa api marak, saya dan rakan sempat keluar selamatkan diri. Kejadian jadi boleh katakan agak pantas juga,” jelasnya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

BACA: Insiden Pulau Angsa: Bangkai Helikopter Milik APMM Berjaya Dibawa Naik

Sumber: Sinar Harian

The post Restoran Nasi Kandar Terbakar, Seorang Melecur appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*