RM212.42 Juta Belanja Pembangunan Fasiliti Kesihatan Perak Tahun 2024 – Dzulkefly

Pembangunan fasiliti kesihatan Perak

RM212.42 Juta Belanja Pembangunan Fasiliti Kesihatan Perak Tahun 2024 – Dzulkefly

IPOH, 6 Feb (Bernama) — Perak menerima peruntukan sebanyak RM212.42 juta di bawah Belanja Pembangunan Kementerian Kesihatan (KKM), bagi pembangunan kemudahan dan infrastruktur fasiliti sektor itu, tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia melibatkan 17 projek baharu dan 13 projek sambungan.

“KKM sentiasa komited untuk memanfaatkan peruntukan ini, seterusnya memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual, seterusnya mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Perak,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di Klinik Kesihatan Chemor di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata kerajaan juga meluluskan peruntukan di bawah Pelan Boleh Pinda (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), bagi melaksanakan kerja awalan untuk Projek Naik Taraf Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, yang sering mengalami kesesakan disebabkan kes-kes kecemasan yang semakin meningkat.

Berhubung masalah tempat meletak kenderaan yang tidak berkesudahan di hospital itu, beliau berkata pembinaan parkir empat tingkat dengan 600 ruang, masih dalam perancangan bagi menangani perkara itu.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata Klinik Kesihatan lima tingkat yang pertama di negara ini yang sedang dibina di Manjoi di sini, dijangka siap pada hujung tahun hadapan.

“Tempat itu agak sempit dan kerana itu kita akan buat klinik kesihatan yang pertama ada lima tingkat dengan pelbagai kemudahan, dan boleh menerima kunjungan seramai 800 orang sehari,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi yang melibatkan kos sebanyak kira-kira RM26 juta, sebelum ini mengalami kelewatan akibat masalah kontraktor, sedang dalam pemantauan supaya tidak tergendala dan dapat dilaksanakan segera.

Beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM100,000 bagi menaik taraf tandas awam dan tandas kakitangan serta sebanyak RM150,000 bagi pembelian peralatan perubatan di Klinik Kesihatan  Chemor yang baharu bagi menggantikan klinik sedia ada.

“Peruntukan RM100,000 juga diluluskan bagi pembelian peralatan perubatan di Jabatan Kecemasan HRPB,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post RM212.42 Juta Belanja Pembangunan Fasiliti Kesihatan Perak Tahun 2024 – Dzulkefly appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*