Saya dapat tahu dia nak tinggalkan Malaysia

Kuala Lumpur: Pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim membuktikan dia mempunyai jiwa pahlawan sangat kental dan tidak mudah dijatuhkan dengan tujuan menamatkan kariernya dalam arena bola sepak.

Perkara itu dibuktikan apabila Faisal kembali menjalani latihan bersama SFC dengan pantas meskipun belum pulih sepenuhnya selepas disimbah asid pada 5 Mei lalu dan tersenarai dalam 20 pemain ketika menentang Terengganu FC (TFC) di separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu.

Jelasnya, perkara itu didorong bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang ingin melihat dia bangkit dan tampil dengan prestasi lebih memukau selepas ini.

Selain itu, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengakui dia amat sedih apabila Pan-gon meninggalkan skuad Malaysia selepas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu memberikan segala-galanya untuk Harimau Malaya.

“Saya dapat tahu dia nak tinggalkan Malaysia, saya pun mesej jurulatih Kim dan maklumkan kepadanya, “Haritu ‘coach’ cakap dekat saya, jangan putus asa, kembali beraksi untuk Selangor atau pasukan kebangsaan, saya akan tunggu awak, dia kata.”

“Jadi saya pun ulang balik ayat dia katakan kepada saya, tetapi dia balas dengan berkata kita tidak tahu apa berlaku pada masa depan, kita cuba buat yang terbaik.

“Dia cakap, awak akan jadi lebih baik pada masa depan kalau awak bangkit. Saya pegang kata-kata itu, saya cuba untuk bangkit dan menjadi pemain luar biasa.

“Saya nak buktikan kepada Malaysia yang saya tidak boleh dijatuhkan dengan apa-apa dan doa rakyat Malaysia ada di belakang saya,” katanya menerusi satu rakaman video dikongsikan SFC.

Tambah Mickey, dia memuji Pan-gon kerana begitu ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya dan individu itu antara yang terawal datang menziarahinya di hospital.

sumber: HM

“Sebagai pemain, saya sedih sebab pernah bekerja dengan jurulatih Kim, saya tahu dia punya keikhlasan dan karakternya, apa yang dia hendak. Beliau banyak mengubah karakter setiap pemain dan karakter skuad kebangsaan.

“Saya sangat sedih dan ketika beliau melawat saya, beliau masuk pintu wad saya dan tidak bercakap, beliau hanya menangis dan sebak hampir lima minit sewaktu duduk di sebelah saya, tidak bercakap apa-apa.

“Itu detik saya tersentuh, walaupun bukan bangsa dan rakyat kita, beliau ikhlas dengan tanggungjawabnya,” katanya.