Sekolah Boleh Anjur Hari Sukan Di SNBJ Secara Percuma – Hannah

sekolah hari sukan snbj percuma

Sekolah Boleh Anjur Hari Sukan Di SNBJ Secara Percuma – Hannah

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang sebelum ini merupakan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya dan venue bagi penganjuran konsert, bakal menjadi ‘padang baharu’ buat pelajar sekolah bermula Oktober ini.

Bersempena ulang tahun ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun khusus untuk penganjuran hari sukan.

Katanya pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah PSM telah dipersetujui dalam mesyuarat perbadanan itu pada 17 Julai lepas dan kegunaan secara percuma untuk sambutan hari sukan sekolah itu tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan.

“Ini selaras dengan pengumuman sebelum ini bahawa kita nak fokus olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah. Saya mahu murid rasai pengalaman berlari 100 meter di SNBJ kerana ia mungkin beri inspirasi kepada mereka untuk menjadi atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media malam penghargaan dan sambutan ulang tahun ke-25 KLSC di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi PSM Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi.

Hannah berkata selain SNBJ, PSM turut memberi tawaran penggunaan secara percuma dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah.

“Sebelum ini, pihak sekoleh perlu bayar (kos sewa) dengan kadar diskaun jika mahu gunakan stadium, jadi selepas ini mereka dijemput membuat tempahan dengan PSM yang dijangka dibuka bermula bulan depan,” katanya.

Beliau berkata syarikat pengeluar makanan berkhasiat juga boleh mengiklankan produk mereka sekiranya terdapat hari sukan sekolah di tiga venue tersebut.

“Mereka boleh bincang dengan PSM mengenai kadar untuk pengiklanan, sekurang-kurangnya boleh tampung kos (tawaran percuma penggunaan venue),” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata PSM selaku badan yang menguruskan KLSC atau sebelum ini dikenali Kompleks Sukan Negara, membuktikan peranannya sebagai badan pengelola stadium yang efisyen termasuk kejayaan menganjurkan beberapa acara bertaraf antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 2001 dan Sukan SEA 2017.

Menurutnya KLSC yang diuruskan PSM diharap dapat terus memantapkan aspek tadbir urus dan pengurusan stadium dalam menjadikannya venue pilihan utama penganjur acara dalam dan luar negara.

BACA: Pakailah Sabun Warna Apa Pun, Buih Tetap Warna Putih, Kenapa? Ini Jawapannya

Sumber: Bernama

The post Sekolah Boleh Anjur Hari Sukan Di SNBJ Secara Percuma – Hannah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*