‘Senjata’ import JDT ancaman Pan Gon

KUALA LUMPUR: Jodoh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Ulsan HD FC terus berpanjangan apabila kedua-dua pasukan akan bertembung lagi dalam saingan peringkat tertinggi Asia.

Selepas berada dalam kumpulan sama ketika saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 dan 2023, JDT dan Ulsan sekali lagi akan bertarung dan kali ini dalam kejohanan baharu, ACL Elit (ACLE) 2024/25 yang akan bermula bulan depan.

Apa yang menarik, kelab gergasi Korea Selatan itu sekarang ini dibimbing bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Pan Gon mungkin memiliki kelebihan kerana mengenali beberapa pemain kebangsaan yang berada dalam skuad JDT seperti Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies, Romel Morales, Syihan Hazmi Mohamed dan Shahrul Saad.

Namun, harus diingat bahawa rahsia taktikal pengendali berusia 55 tahun itu juga mungkin sudah ‘dihidu’ pemain terbabit selepas dua tahun setengah dia membimbing Harimau Malaya.

Malah, Pan Gon juga tidak mengetahui corak permainan yang dimiliki barisan pemain import Harimau Selatan terutama yang baru diikat juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menyifatkan beberapa pemain import yang baru ditandatangani – Park Jun Heong, Enzo Lombardo, Eddy Israfilov, Iker Undabarrena dan penjaga gol, Christian Abad mampu menambah kekuatan Harimau Selatan terutama bagi menghadapi ACLE.

“Ini kali ketiga berturut-turut kami bertemu rakan kami, Ulsan HD dan kami mempunyai keputusan yang baik bertemu pasukan dari Korea Selatan. Kedua-dua pasukan ada kelebihan kerana ramai pemain dalam skuad kebangsaan mengenalinya (Pan Gon).

“Jadi tiada kejutan dari segi itu. Kejutan mungkin dari segi pemain import baru kami dan mungkin itu salah satu perkara yang dia tidak tahu.

sumber: BH

“Sudah tentu kami harap mereka (pemain baru) dapat meningkatkan skuad kami kerana kami mahu melakukan yang terbaik bukan sahaja di Liga Malaysia tetapi juga satu langkah lagi di Asia,” katanya.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan lebih memihak kepada JDT yang mana Harimau Selatan menang sekali dan tewas sekali dalam aksi peringkat kumpulan ACL musim lalu dan dua kali menewaskan Ulsan ketika peringkat kumpulan ACL 2022.