Stadium Nasional Kembali Dengan Padang Berkelas Dunia

stadium nasional padang

Stadium Nasional Kembali Dengan Padang Berkelas Dunia

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berkenan merasmikan padang baharu Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, sehari sebelum sepak mula pertandingan ikonik Pestabola Merdeka 2023.

Majlis perasmian turut disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi.

Hannah berkata selain penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia kurniaan tajaan Tunku Ismail yang jumlahnya tidak didedahkan, Stadium Nasional turut melalui proses menaik taraf berkaitan padang, struktur dan tapak semaian melibatkan kos hampir RM4.8 juta.

Beliau berkata PSM telah melaksanakan kerja penukaran rumput jenis Zeon Zoysia di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu sebaik sahaja majlis perasmiannya pada 18 Mac lepas.

“Serahan tapak projek kepada syarikat (Talenttwo (M) Sdn Bhd) telah dilaksanakan pada 1 April 2023 dan kerja penukaran rumput telah dijalankan hingga 30 Sept 2023. Tempoh penyelenggaraan selama satu tahun bermula 1 Okt 2023 hingga 30 Sept tahun depan.

BACA JUGA: Rumput Stadium Nasional Jadi Kenangan Berharga

“Hari ini, padang Stadium Nasional telah bersedia untuk mengadakan pelbagai perlawanan bola sepak termasuk Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada 13 hingga 17 Okt ini,” katanya pada sidang media majlis perasmian padang Stadium Nasional di sini.

Ketika diminta mengulas reaksi Tunku Ismail tentang padang baharu itu, Hannah berkata Tunku Mahkota Johor itu dilihat berpuas hati dengan status padang dan turut memberi beberapa cadangan berhubung penyelenggaraan padang.

“Kita berharap esok boleh dapatkan maklum balas daripada Kim Pan Gon (ketua jurulatih pasukan negara) dan pasukan Harimau Malaya kerana mereka yang akan gunakan padang ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faidz berkata PSM berbangga untuk mempunyai jenis rumput yang berkelas dunia dan mencapai standard antarabangsa, selain penambahbaikan yang dibuat untuk membolehkan proses penyelenggaraan berjalan lancar.

“Paling penting kita tukar pengairan, perpaipan dan semuanya sebab kita dah tak boleh guna teknologi lampau. Ini detik yang membanggakan bagi PSM dan yang paling menarik ialah kita mempunyai 9,000 kaki persegi rumput di nurseri, jadi kita boleh tukar satu demi satu,” katanya.

Rumput jenis Zeon Zoysia di tapak semaian milik PSM berdekatan dengan Stadium Nasional juga adalah kurniaan tajaan Tunku Ismail.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi di sini adalah pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Thailand pada 7 Jan lepas.

Sumber: BERNAMA

The post Stadium Nasional Kembali Dengan Padang Berkelas Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*