Terengganu FC (TFC) menafikan bakal berpisah dengan ‘arkitek’

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menafikan bakal berpisah dengan ‘arkitek’, Nurillo Tukhtasinov bulan depan.

Sebaliknya pihak pengurusan sedang berusaha untuk mengekalkan pemain kelahiran Uzbekistan itu sehingga berakhir musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Hal ini diakui Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas memaklumkan yang pihaknya kini dalam proses rundingan dengan pemain berusia 27 tahun itu.

“Berdasarkan perjanjian dengan pemain itu (Tukhtasinov), kontraknya akan berakhir pada 31 Disember 2024 selepas lebih setahun bersama TFC.

“Bagaimanapun kita tidak berniat untuk melepaskan pemain import itu kerana khidmatnya masih diperlukan dalam saingan Liga M dan saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara.

“Jadi kini pihak pengurusan masih dalam proses rundingan dengan pemain itu untuk menyambung kontraknya, kita harapkan pemain itu dapat menerima lamaran kita bagi membolehkan dia terus kekal beraksi bersama TFC,” kata Mohd Sabri ketika dihubungi.

sumber: BH

Terdahulu tular di laman sosial pemain yang mula menyarung jersi TFC pada jendela kedua perpindahan pemain pada musim lalu bakal meninggalkan pasukan bulan depan selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.