TFC ibarat ‘harimau yang luka’

KUALA TERENGGANU: Kebangkitan luar biasa diperagakan pemain Terengganu FC (TFC) menyaksikan skuad itu mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini selepas menyingkirkan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Ini diakui ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali yang menyifatkan pemainnya bagaikan ‘harimau luka’ dengan bangkit meledak empat gol selepas bolos dua jaringan awal pada aksi suku akhir kedua malam tadi.

Jelas bekas ‘arkitek’ skuad Terengganu itu, beliau kagum dengan karakter pemainnya yang tidak gugup serta tidak cepat putus asa sebaliknya mampu beraksi dengan baik pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, itu.

Bagaimanapun jelas jurulatih muda itu, kem skuad Penyu cemas seketika sebelum kembali tersenyum apabila melihat anak buahnya bangkit menjaringkan empat gol untuk menoktahkan saingan dengan agregat 6-2 dan berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir nanti.

“Ketika ketinggalan dua jaringan, perasaan cemas menyelubungi kami lebih-lebih lagi kita mengawal perlawanan tapi pemain gagal menjaringkan gol.

“Kelekaan untuk mengekang gerakan pihak lawan selain pemain terlalu ghairah menyerang, tidak fokus menyebabkan kita mudah dihukum dengan dua jaringan pelawat.

“Situasi itu sepatutnya tidak berlaku apatah lagi kita berkelebihan dengan dua jaringan selepas menang pada aksi pertama, namun mujur pemain tidak cepat putus asa dan kembali bangkit.

“Kata-kata ketika di bilik persalinan dengan mengingatkan pemain supaya fokus dan tidak mengambil mudah biarpun berdepan dengan pasukan tercorot Liga Super, ternyata membakar semangat pemain untuk bangkit,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu terlebih dahulu dikejutkan dengan dua jaringan pelawat menerusi sepakan penalti Hadin Azman dan rembatan A Selvan sekali gus mengikat agregat 2-2 sehingga minit ke-34.

sumber: BH

Bagaimanapun kebangkitan menakjubkan yang dijelmakan pemain skuad Penyu itu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas berjaya meledak empat gol menerusi Akhyar Rashid, Sapawi Rasid, Muhammad Azam Azmi Murad dan sepakan penalti Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.