Tiada Yang Mendesak Letak Jawatan, Hanya Hati Saya – Sulaiman

Sulaiman Letak Jawatan

Tiada Yang Mendesak Letak Jawatan, Hanya Hati Saya – Sulaiman

ALOR GAJAH, 30 Mac (Bernama) — Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan, beliau tidak menerima desakan daripada mana-mana pihak untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Yang ada ialah desakan hati saya ini… desakan naluri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah, di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi di sini hari ini.

Beliau juga mengulangi tiada sebarang perjanjian atau tawaran lantikan senator dalam kabinet kerajaan Persekutuan dan menjelaskan faktor pengunduran dirinya disebabkan isu kesihatan.

“Saya tidak mahu dah. Saya nak jaga Dewan Undangan Negeri (DUN) saya (DUN Lendu) dan nak hidup secara normal saya semula. Malah saya pernah cakap, saya ni sepenggal (untuk jadi Ketua Menteri) cukuplah,” katanya.

BACA JUGA: Ahmad Zahid Sahkan Sulaiman Letak Jawatan Ketua Menteri Melaka

Dalam pada itu, beliau juga berharap semua pihak menyokong sesiapa sahaja yang dilantik selepas ini, memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dicadangkan oleh parti itu sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dipetik sebagai berkata Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, akan dilangsungkan  di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada pukul 3 petang esok.

Sumber: BERNAMA

The post Tiada Yang Mendesak Letak Jawatan, Hanya Hati Saya – Sulaiman appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*