Tidak Rasmi: Ranking FIFA Malaysia Jatuh Tiga Anak Tangga?

Malaysia ranking fifa

Tidak Rasmi: Ranking FIFA Malaysia Jatuh Tiga Anak Tangga?

Selepas Pestabola Merdeka 2023 melabuhkan tirainya semalam menyaksikan impian Harimau Malaya bergelar juara ranap selepas tewas di tangan Tajikistan dalam pentas akhir dengan keputusan 0-2.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara terpaksa melepaskan trofi kejohanan buat kali yang ke-13 dengan hanya menyandang naib johan.

Dalam pada itu, mengikut kiraan mata ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari sumber tidak rasmi, Malaysia dikatakan jatuh sebanyak tiga anak tangga dan kini berada di tangga ke-137 dunia dengan mengumpul 1,096.72 mata semasa.

Gambar: Football Ranking 

Malaysia hanya berjaya menambah 1.82 mata dalam perlawan tersebut. Tiga negara yang berjaya memintas skuad negara adalah Kuwait (136), Kepulauan Faroe (135) dan Lithuania (134).

Sebelum ini, anak-anak buah Kim Pan Gon berjaya memanjat kedudukan ke-134 dunia selepas mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas India di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia berjaya mengutip 6.04 mata.

Final Pestabola Merdeka 2023

Semalam, Harimau Malaya gagal mendakap gelaran ke-13 Pestabola Merdeka edisi 2023 selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di Stadium Nasiional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.

Tajikistan, pasukan ranking ke-110 dunia, menghampakan Malaysia di pentas perlawanan antarabangsa buat kali kedua selepas final Piala Raja Thai, di Chiang Mai, Thailand, tahun lalu.

BACA JUGA: TMJ Tawar Guna Stadium JDT Untuk Aksi Final Pestabola Merdeka

Jaringan penyerang, Soirov Rustam serta pemain gantian Samiev Shahrom, masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua perlawanan yang disaksikan 36,558 penonton itu membantu Tajikistan meraih kejuaraan dalam penampilan pertama mereka pada kejohanan jemputan tersebut.

Gambar: FAM

Walaupun Malaysia bermula baik di awal permainan, namun hantaran kurang tepat ke bahagian serangan mudah dipatahkan benteng pertahanan lawan sebelum Tajikistan melaungkan amaran awal dengan percubaan pemain sayap,Shukurov Alisher diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-15.

Malaysia yang terus mengatur serangan memperoleh peluang mendahului pelawat sebelum sepakan  jarak jauh pemain tengah, Brendan Gan pada minit ke-27 disusuli percubaan lemah pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-32, dinafikan penjaga gol Tajikistan, Barotov Daler.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan negara yang gagal merantai pergerakan penyerang Soirov mengundang padah apabila beliau mudah melepaskan sepakan kaki kanan pada minit ke-44 untuk meletakkan mereka di depan.

Tersentak dengan jaringan pembukaan lawan, Malaysia yang cuba menyamakan kedudukan nyaris merobek gawang lawan namun tandukan pemain pertahanan kanan, Matthew Davies, yang menyambut sepakan percuma Muhammad Safawi Rashid, ditepis Barotov pada masa kecederaan babak pertama.

Gambar: FAM

Bersambung babak kedua, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon membuat dua pertukaran bagi mengasah taring pasukannya dengan memasukkan Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid menggantikan Davies dan Arif Aiman.

Barotov sekali lagi menghampakan Malaysia dengan menafikan sepakan dari sebelah kiri oleh Muhammad Akhyar pada minit ke-54.

BACA JUGA: Pestabola Merdeka 2023: Pasukan Palestin Sah Tarik Diri

Selang lima minit kemudian, Malaysia sekali lagi kecewa apabila tandukan pemain pertahanan kiri Corbin Ong, hasil umpanan tonggak tengah Endrick Dos Santos, sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol skuad kendalian Petar Segrt.

Harimau Malaya terus buntu apabila tandukan penyerang Darren Lok, berpunca daripada sepakan penjuru sebelah kanan oleh Dos Santos, kurang tepat pada minit ke-72 manakala percubaan leret tonggak sayap Mohamad Faisal Abdul Halim pula singgah di tiang kiri  pintu gol lawan pada minit ke-76.

Usaha berterusan Malaysia untuk kembali ke dalam permainan di hujung permainan berakhir dengan sia-sia apabila percubaan Mohamad Faisal diselamatkan Barotov pada minit ke-86 sebelum pemain gantian Samiev mengesahkan kejuaraan sulung mereka dengan jaringan pada minit ke-88.

Kejayaan diraih Tajikistan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah tujuh perlawanan Malaysia, yang menghuni ranking ke-134, sejak tewas kali terakhir dalam separuh akhir kedua Piala AFF  2022 di tangan Thailand, 0-3, Januari lepas.

Sumber: Football Ranking

The post Tidak Rasmi: Ranking FIFA Malaysia Jatuh Tiga Anak Tangga? appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*