tidak rela skuadnya kehilangan

Alor Setar : Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Hasbullah Abu Bakar tidak rela skuadnya kehilangan sebarang mata apabila Sang Kenari bakal meneruskan perjuangan aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini.

Menurut pemain berusia 29 tahun dan bekas pemain skuad Jang pada tahun lalu berkata, Kedah perlu cepat bangkit dari perasaan kecewa yang dialami selepas tumpas 0-6 pada aksi Liga Super ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu.

“Apa yang perlu kami lakukan adalah mengatasi perasaan kecewa yang lalu dengan bangkit dengan semangat yang lebih kuat bagi menghadapi skuad Negeri Sembilan di laman sendiri selepas ini.

“Episod kekecewaan yang kami lalui ketika tewas besar kepada JDT perlu kami lupakan dan bangkit segera untuk membuktikan kemampuan kami yang sebenar di hadapan penyokong.

“Jadi tiada istilah hanya menang kerana yang lebih tepat adalah wajib menang bagi memastikan kami tidak lagi keciciran mata dan pada masa yang sama kami mengimpikan penambahan mata untuk terus bersaing menuju kelompok pasukan atasan liga,” katanya selepas latihan di Stadium Sultan Abdul Halim semalam.

Hasbullah yang turut menyumbang satu gol buat Sang Kenari pada aksi Liga Super ketika menentang Kuching City FC pada 26 Julai lalu juga berkata, tiada jalan mudah buat skuadnya selain perlu terus bekerja keras dan turun dengan semangat yang tinggi dalam usaha mencapai misi kemenangan yang diburu Sang Kenari.

sumber: HM

“Kita tahu tiada aksi mudah dengan mana-mana pasukan yang akan ditentang kerana semua mengidamkan kemenangan selepas keciciran mata dan begitu juga dengan skuad Negeri Sembilan.

“Jadi saya harap semua rakan sepasukan dapat tingkatkan lagi keupayaan dalam usaha untuk menggenggam tiga mata yang kami hajatkan dan menurut setiap perancangan yang akan ditetapkan oleh ketua jurulatih kami,” katanya.