Tiga beradik enggan berpisah, rela hidup susah

KOTA BHARU – Seorang pemuda terpaksa melupakan hasrat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ulangan kira-kira tiga tahun lalu kerana mahu bekerja bagi me­nyara dua adiknya yang masih bersekolah.

Zaid Amran, 21, tiada pilihan lain kerana dia kini ketua keluarga selepas ibunya, Esah Abdul Ghani meninggal dunia lapan tahun lalu pada usia 30 tahun, manakala bapa, Amran Ripin, 52, juga telah ‘pergi’ akibat sakit jantung pada November tahun lalu.

Menurutnya, sejak ibu ba­panya tiada, dia menyara dua adik iaitu Nurhayati Husna, 18, dan Muhamad Zaidi, 16, dengan bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan.

Ujarnya, pendapatan RM70 sehari yang dibayar setiap ming­gu oleh majikannya itu adalah satu-satunya sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan mereka tiga beradik.

“Ibu saudara pernah me­minta untuk menjaga Nurhayati dan Zaidi, namun berat hati saya untuk melepaskan mereka. Biarlah kami susah asalkan tak berpisah.

“Saya sanggup tidak mengambil SPM u­langan bagi memperbaiki keputusan peperiksaan saya sebelum ini demi mereka,” katanya di rumahnya di Kampung Tembusu Limbat di sini.

Terdahulu, tiga beradik itu dikunjungi oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar, Wan Azizi Wan Ab. Ghani yang turut me­nyumbangkan barangan keperluan harian dan bantuan kewa­ngan kepada mereka.

Menurut Zaid, dia mahu dua adiknya itu melanjutkan pelajaran ke menara gading kerana percaya bahawa hanya pelajaran yang mampu mengubah nasib keluarga.

“Saya sudah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung per­belanjaan kami tiga beradik. Setakat ini, saya baru dalam proses mengisi borang permohonan itu.

“Saya berharap adik-adik dapat meneruskan persekolahan seperti biasa kerana mahu mereka berjaya,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Zaid Amran, 0310129000120426 atau menghubungi di talian 011-2503 0177.

The post Tiga beradik enggan berpisah, rela hidup susah appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*