Kuala Lumpur: “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.” Itu kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh mengenai tindakan tidak profesional pemain sayap negara, Akhyar Rashid ketika aksi final Pestabola Merdeka babitkan skuad Harimau Malaya dan Lubnan, Ahad lalu.
Menurut Subkhiddin, tindakan Akhyar ‘memperdayakan’ pemain lawan dengan tidak memberhentikan aksi sedangkan pemain Lubnan sudah menghentikan permainan sebenarnya tidak menyalahi undang-undang permainan.
Namun apa yang dilakukan pemain itu sebenarnya memberi tanggapan negatif kepada pasukan kebangsaan dan mungkin akan dijadikan ‘modal’ buat pasukan lain untuk tidak menghormati pemain negara selepas ini.
Ia termasuk, kemungkinan pemain lawan tidak akan lagi memberhentikan permainan jika ada pemain Malaysia mengalami kecederaan selepas ini kerana apa dilakukan Akhyar jelas tidak menunjukkan semangat kesukanan atau kejujuran dalam sukan.
“Apa yang dilakukan Akhyar tak salah. Memperdayakan lawan adalah seni permainan bola sepak di mana ia dalam bentuk skill individu dan teknik kawalan bola untuk memperdayakan pemain lawan.
“Tapi apa yang dibuat Akhyar itu bukan perdaya dalam bentuk teknik permainan. Apabila pemain lawan sudah berhenti untuk memberi laluan kepada pemain negara mendapatkan rawatan, sepatutnya Akhyar boleh memberhentikan kerana itu adalah semangat kesukanan dalam permainan.
“Dalam hal ini, pengadil cuba memberi ‘advantage’ kepada Malaysia untuk teruskan permainan selepas ada pemain negara yang jatuh sebelum Akhyar seolah beri isyarat untuk hentikan, tetapi dia secara tiba-tiba meneruskan permainan.
“Di sini mungkin membuatkan pemain Lubnan beremosi dan membuat terjahan ke atas pemain negara (Arif Aiman Hanapi) sebelum dikenakan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah.
“Sepatutnya pengadil boleh hentikan dan memulakan permainan semula selepas Akyhar beri isyarat dan pemain Lubnan pun dilihat tidak memberi tekanan,” kata bekas pengadil Fifa itu ketika dihubungi Arena Metro.
Dalam aksi final Pestabola Merdeka itu, skuad negara menang 1-0 hasil jaringan tunggal Romel Morales pada babak pertama yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Begitupun kemenangan itu dipertikaikan pemain Lubnan terutamanya dalam insiden di minit 78 apabila Lubnan dilihat sudah memberhentikan permainan apabila salah seorang pemain Malaysia mengalami kecederaan.
Akhyar yang pada mulanya dilihat seakan memberi isyarat mahu mengeluarkan bola bertindak membuat hantaran kepada Arif Aiman sebelum dia dikasari pemain Khalil Khamis.
sumber: HM
Lebih malang, kekasaran dilakukan Khalil ke atas Arif Aiman menyebabkan Lubnan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila dia dilayangkan kad kuning kedua.
Situasi itu turut mencetuskan suasana panas di bangku simpanan membabitkan pegawai kedua-dua pasukan dengan pengendali Lubnan, Miodrag Radulovic dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.