Kuala Lumpur: Tindakan pemain beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani memilih tidak bersalaman sebaliknya memberi tanda hormat kepada orang kenamaan ketika sesi penyampaian hadiah di final Terbuka Jepun, bulan lalu adalah satu perbuatan profesional.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, setiap individu mempunyai hak tersendiri untuk melakukannya dan paling penting adalah ia tidak melanggar peraturan sedia ada sehingga boleh menimbulkan kekecohan kelak.
Jelasnya, apa yang dilakukan oleh pemain berkenaan satu perkara harus diberikan pujian kerana memilih cara untuk menolak dengan lebih baik tanpa menyakiti mana-mana individu.
“Ia bukan satu kesalahan untuk bersalam atau tidak dengan sesiapa sahaja. Itu hak masing-masing dan terdapat banyak kes atlet terkemuka juga tidak menghulurkan tangan untuk bersalam sembarangan malah ada yang menolak dengan reaksi yang tidak hormat atau sopan atau beradab.
“Tanda hormat boleh ditunjukan dengan pelbagai cara, menunduk tanda hormat dan lain-lain. Bagi saya walaupun Izzuddin tidak bersalaman tetapi dia menunjukkan sifat hormat dan sopannya dengan merapatkan kedua tangan di dada sambil menunduk ketika tetamu kehormat pada waktu penyampaian hadiah itu.
“Dalam konteks sukan walaupun bersalam ini biasa berlaku dalam majlis penyampaian hadiah, ia bukan peraturan yang mesti diikuti dan tiada denda setakat ini yang dikenakan kepada ahli sukan jika menolak untuk bersalam dengan mana-mana tetamu kehormat. Malah pada waktu pandemik Covid-19 juga acara penyampaian hadiah sukan juga tidak dibenarkan untuk bersalam,” katanya.
sumber: HM
Terdahulu, viral di Tiktok menunjukkan pemain kelahiran Johor itu memilih cara sedemikian dan mendapat pujian ramai peminat badminton.