Tugas sukar menanti TFC

Kuala Terengganu: Tugas sukar menanti Terengganu FC (TFC) apabila berdepan kelab Dong A Thanh Hoa FC dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara atau Piala Shopee, malam esok.

Situasi itu ditegaskan ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner yang menjangkakan anak buahnya bakal berdepan tentangan sengit daripada kelab Vietnam itu biarpun beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Tambah jurulatih kelahiran Croatia yang mesra dipanggil Tommy itu, reputasi lawan termasuk menundukkan kelab Myanmar, Shan United 3-1 pada aksi pertama selain kualiti yang ada dalam kalangan pemain menuntut pemain TFC perlu bekerja lebih keras lagi dalam perlawanan kedua itu.

Namun Tommy menegaskan pemainnya tidak boleh memandang terlalu tinggi pasukan itu, sebaliknya perlu memperagakan aksi terbaik selain menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk melakar kemenangan pertama selepas tewas kepada kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC pada aksi pertama.

“Berdepan kelab Vietnam itu saya jangkakan perlawanan sukar buat TFC dan ia hampir sama ketika menentang kelab Kemboja tempoh hari kerana kedua-dua pasukan itu bagus dan berkualiti.

“Lagipun sudah pasti tempo perlawanan dan intensitinya tinggi serta berbeza lebih-lebih lagi kelab Vietnam itu hadir dengan kemenangan pada aksi pertama menentang kelab Myanmar.

“Namun saya sudah ingatkan pemain agar tidak memandang terlalu tinggi pasukan lawan, mereka perlu lebih fokus kepada pasukan sendiri kerana kami turut ada kualiti tersendiri.

“Pemain tidak boleh sesekali melakukan kesilapan mudah serta membiarkan lawan menguasai permainan, mereka perlu lebih berdisiplin bermula pada minit pertama lagi bagi mengelak dihukum,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Menurutnya, ketiadaan pertahanan tengah, Shahrul Nizam Ros Hasni yang cedera selain tidak dapat menurunkan penyerang import baharu, Nelson Bonilla tidak begitu dirasai pasukan kerana pemain lain mampu memikul tugas diberikan.

Pada aksi pertama bulan lalu, TFC tumpas 2-3 kepada PKR Svay Rieng FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

sumber: HM

Kemenangan pada malam esok bakal kembali membuka peluang buat skuad itu untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan sulung kejuaraan itu.