1,101 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Di Jalan Silang 

Warga Asing Ditahan

1,101 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Di Jalan Silang 

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Sebanyak 1,101 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Jalan Silang di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata operasi bersepadu berkenaan yang bermula pukul 11 pagi hingga 3 petang disertai sejumlah 1,138 anggota antaranya daripada Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata operasi dijalankan bagi tujuan membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar kawasan itu dan Kompleks Kota Raya terutamanya melibatkan warga asing.

“Operasi ini juga memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan berkenaan. Pihak polis akan sentiasa menjalankan operasi bersepadu seperti ini dari semasa ke semasa untuk memastikan Kuala Lumpur bebas daripada pendatang tanpa izin,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Allaudeen berkata semua warga asing yang ditahan bekerja dan tinggal di sekitar kawasan berkenaan serta ada yang datang ke situ bagi pelbagai tujuan termasuk berjalan-jalan.

BACA JUGA: Tiket Konsert Siti Nurhaliza Laku Keras, “Sold Out” Dalam Tempoh Dua Jam

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, pihaknya turut merampas 100 karton rokok, 80 karton arak dan pelbagai ubatan yang dibawa masuk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan dengan nilai keseluruhan RM104,530.

Ubat-ubatan yang dirampas itu katanya, dibawa masuk dari negara antaranya Nepal dan Bangladesh untuk dijual kepada warga asing yang memerlukan.

“Rampasan ubat-ubatan antaranya melibatkan ubat selesema dan demam, ia dijual kepada warga asing yang memerlukan susulan kos untuk mendapatkan rawatan yang tinggi dan sukar kerana mereka tidak mempunyai dokumen,” katanya.

Difahamkan, ubat-ubatan berkenaan dirampas di sebuah premis yang dijadikan sebagai klinik mini bagi warga asing.

Ditanya mengenai tindakan terhadap pemilik premis yang menyewakan kepada warga asing, Allaudeen berkata pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada DBKL untuk sebarang tindakan lanjut.

Allaudeen berkata semua yang ditahan diserahkan kepada imigresen dan disiasat mengikut Seksyen 6 (3), Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959.

Dalam pada itu, Allaudeen turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan terutamanya melibatkan warga asing di kawasan masing-masing kepada pihak polis.

Sumber: BERNAMA

The post 1,101 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Di Jalan Silang  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*