44 Premis Perniagaan Dikendali Warga Asing Ditutup Serta-merta

DBKL 44 premis pasar raya

44 Premis Perniagaan Dikendali Warga Asing Ditutup Serta-merta

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta-merta 44 premis yang dikendalikan warga asing di sekitar Jalan Kenanga, di sini semalam.

Menurut DBKL penutupan premis tersebut dibuat di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 menerusi Operasi Bersepadu (Op Tebah) Terhadap Premis Yang Dikendalikan Warga Asing Siri 5 Tahun 2023.

Pada masa sama, DBKL turut mengeluarkan 51 notis kompaun melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, penggajian warga asing dan melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.

Selain DBKL, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam serbuan kali ini, 217 aktiviti premis perniagaan melibatkan kedai menjual tudung, kain, pakaian, kasut, beg, aksesori telefon bimbit, peralatan komputer, rokok elektronik (vape) dan aktiviti lain serta sejumlah 85 pekerja dan pengendali premis perniagaan diperiksa terutama melibatkan warga asing.

“Seramai 29 pekerja warga asing terdiri daripada 22 pekerja Bangladesh, Indonesia (tiga), Pakistan (tiga) dan seorang pekerja Myanmar ditahan JIM kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri menerusi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

SSM pula mengeluarkan 92 notis kompaun pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang iaitu 64 notis berkaitan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan 28 notis mengenai Akta Syarikat 2016 ke atas pemilik perniagaan dan syarikat.

Sementara itu, JPN membuat 42 semakan dan teguran terhadap individu atau pengendali perniagaan berkaitan penggunaan kad pengenalan yang sah berdaftar atau meragukan menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.

“Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di semua lokasi tumpuan yang lain melibatkan aktiviti perniagaan dikendalikan warga asing,” katanya.

BACA: Ibu Sebak, Anak Bawa Kawan-kawan Datang Tempat Kerjanya, Buat Kejutan Sambut “Birthday”

BACA: Tak Sangka, Rupanya Ini ‘Fungsi Rahsia’ Lubang Wayar Pada Meja Pejabat Ramai Tak Tahu

Sumber: BERNAMA

The post 44 Premis Perniagaan Dikendali Warga Asing Ditutup Serta-merta appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*