5 Perkara Yang Perlu Ambil Tahu Tentang Cara Guna Syelek Kayu

cara guna syelek kayu

5 Perkara Yang Perlu Ambil Tahu Tentang Cara Guna Syelek Kayu

Syelek selalu digunakan ke atas permukaan kayu bagi memberikan ‘nafas baharu’ kepada perabot untuk menutup kecacatan dan menyembunyikan calar yang ada padanya.

Apabila bercerita tentang kemasan perabot, ramai yang merasakan bahawa ia adalah suatu pekerjaan yang mudah.

Sebaliknya, penggunaan syelek kayu ini bukanlah perkara mudah seperti yang disangkakan.

Hal ini kerana terdapat banyak perkara yang perlu diambil perhatian supaya ia tidak memudaratkan kesihatan seseorang.

Seperti sedia maklum, bau syelek yang kuat boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, khususnya kepada golongan kanak-kanak.

Justeru, untuk mengetahui perkara lebih lanjut sebelum menggunakan syelek, mari ikuti perkongsian dari Hello Doktor seperti berikut.

Buat Projek DIY Di Rumah, Sebelum Guna Syelek Kayu, Ambil Tahu 5 Peraturan Ini Dulu!

Syelek kayu merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan ke atas kayu untuk tujuan kemasan. Anda ingin ‘menghidupkan’ semula perabot lama yang sudah buruk dan dimamah usia? Salah satu fungsi syelek adalah untuk membuatkan perabot ini kembali cantik dan nampak baharu.

Malah, untuk mereka yang suka melakukan projek DIY di rumah, syelek merupakan antara bahan wajib yang pasti digunakan. Malah, fungsi syelek bukan sahaja untuk mencantikkan perabot, ia juga dapat menambah lapisan perlindungan untuk pastikannya tahan lebih lama.

Tetapi, jika rumah anda sempit atau anda tidak mempunyai laman, anda perlu lebih berhati-hati semasa menggunakan syelek. Wasap yang dihasilkan oleh syelek boleh mendatangkan bahaya, terutamanya kepada anak kecil.

Namun, itu tidak bermaksud anda tidak boleh kekal selamat ketika menggunakan syelek. Sebenarnya, ada beberapa langkah keselamatan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan.

Ingin tahu lebih lanjut? Jom ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.

Syelek kayu dan kesan wasapnya terhadap kesihatan

Gambar hiasan: Pexels

Syelek mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti petroleum, alkohol, formaldehid, natrium hidroksida dan glikol eter. Semua bahan ini boleh memberikan kesan negatif kepada badan disebabkan ketoksikannya.

Malah, bahan-bahan ini juga boleh membentuk wasap yang berbahaya. Baunya juga boleh kekal sehingga berminggu-minggu lamanya.

Kedengaran menakutkan bukan? Jangan risau, jika anda menggunakan syelek di kawasan terbuka dengan ventilasi yang bagus, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Namun, jika anda tertelan atau syelek termasuk ke dalam mata, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin!

BACA JUGA: Bilik Air Berbau? Ini ‘Rahsia’ Pastikan Ia Sentiasa Wangi, Guna 2 Bahan Mudah Je

Ventilasi yang baik dapat mengurangkan konsentrasi wasap dan membuatkan syelek lebih selamat untuk digunakan.

Secara amnya, syelek hanya berbahaya jika pada waktu aplikasi. Apabila ia telah kering, ia tidak lagi toksik terhadap kesihatan! Ini bermaksud, anda tidak perlu risau mengenai keselamatan perabot di rumah anda jika anda pernah sapukan syelek padanya.

Perkara yang perlu dilakukan untuk pastikan syelek selamat

Tidak dinafikan, ada banyak fungsi syelek. Sebab itulah ia menjadi pilihan sebagai kemasan.

Ada beberapa langkah yang boleh diambil jika anda ingin kekal selamat semasa menggunakan syelek kayu:

Gambar: HGTV

1. Periksa label syelek kayu sebelum beli

Pastikan jenama syelek yang dibeli selamat untuk digunakan dan mendapat pengesahan daripada badan berwajib. Jika boleh, pilih syelek yang berasaskan air, tidak mengandungi pelarut beralkohol atau bahan-bahan berbahaya seperti logam berat dan eter glikol.

2. Lindungi diri anda

Syelek bukan hanya akan melekat pada permukaan perabot, malah ia juga akan melekat pada tangan anda! Oleh sebab itu, pakai sarung tangan getah, baju lama dan kaca mata keselamatan (safety goggles) untuk mengelakkan diri daripada sebarang bahaya.

Malah, syelek juga boleh menyebabkan tindak balas alahan terhadap sesetengah individu. Pastikan anda lebih berhati-hati dan elakkan terkena kesan syelek pada kawasan tangan atau kaki.

3. Jauhkan syelek kayu daripada sumber api

Syelek amat mudah terbakar. Malah, asap yang terhasil daripada proses pembakaran ini juga sangat berbahaya terhadap kesihatan anda.

Jadi, pastikan anda lakukan semua projek DIY di luar rumah. Jangan sesekali berada dekat dengan sumber api. Jika anda merokok, jangan duduk hampir dengan perabot yang baru disapukan syelek. Jika anda tidak berhati-hati, habislah projek DIY anda disambar api!

4. Ventilasi, ventilasi, ventilasi!

Ya, ventilasi sangat penting semasa menggunakan syelek. Jika boleh, cat perabot di luar rumah. Kalau anda terpaksa lakukannya di dalam, buka tingkap dan pasang kipas untuk pastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik.

Berhenti menggunakan syelek jika anda rasa pening kepala atau ingin pitam. Pastikan anda minta ahli keluarga untuk bawa anda ke klinik secepat mungkin.

5. Buang kain buruk dengan selamat

Ramai yang lupa bahawa kain buruk yang digunakan untuk mengelap syelek juga boleh mendatangkan bahaya. Kain buruk ini mudah terbakar dan mungkin beracun untuk haiwan yang berkeliaran di sekitar rumah.

Oleh sebab itu, rendam kain buruk dalam baldi sebelum buang. Ini akan mengurangkan risiko kebakaran. Kemudian, asingkan kain buruk yang digunakan untuk mengelap syelek daripada sampah lain. Buang dengan betul dan jangan sesekali biarkan kain tersebut terbiar di sekeliling rumah.

Dengan langkah keselamatan yang betul, sesiapa sahaja boleh menggunakan syelek dengan selamat. Pastikan anda ikut semua tip kami di atas untuk pastikan diri anda dan keluarga tidak terdedah dengan bahaya syelek kayu.

Sumber: Hello Doktor

The post 5 Perkara Yang Perlu Ambil Tahu Tentang Cara Guna Syelek Kayu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*