79 Menara Telekomunikasi Telah Siap Dibina Di Pahang

menara telekomunikasi pahang

79 Menara Telekomunikasi Telah Siap Dibina Di Pahang

KUANTAN, 5 Sept (Bernama) — Sebanyak 79 menara telekomunikasi daripada 270 menara yang disasarkan telah siap dibina menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu di Pahang, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal.

Beliau berkata baki 191 menara dalam pelaksanaan dan akan disiapkan secara berperingkat manakala kerja menaik taraf 902 stesen pemancar daripada rangkaian 3G kepada 4G telah siap dilaksanakan pertengahan tahun lepas.

“Sebanyak 69 kampung orang Asli yang terletak jauh di pendalaman dikenal pasti juga telah dilengkapkan dengan perkhidmatan internet Jalur Lebar Satelit yang disediakan secara percuma,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Fadzli berkata demikian ketika menjawab soalan V.Arumugam (BN – Sabai) yang ingin tahu perkembangan projek infrastruktur komunikasi yang sedang dilaksanakan di seluruh Pahang.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata kadar liputan jalur lebar mudah alih 4G di Pahang meningkat kepada 94.31 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding 89.1 peratus pada suku kedua 2020 dengan kadar itu dijangka akan terus bertambah apabila semua projek JENDELA Fasa Satu siap sepenuhnya.

BACA JUGA: TM Tawar VSS Kepada Staf Bukan Eksekutif 50 Tahun Ke Atas, Boleh Dapat Pampasan Maksimum 36 Bulan

Beliau berkata bermula tahun ini, kerajaan negeri telah melakukan proses memudah cara menerusi kerjasama bersepadu dan strategik melibatkan beberapa agensi kerajaan antaranya Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Kerja Raya bagi mempercepatkan projek pelaksanaan pembinaan menara.

“Sebagai contoh, kesan daripada usaha ini menara di Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands telah berjaya disiapkan dalam tempoh lebih kurang lima bulan sahaja bermula daripada proses perolehan tapak sehingga menara diaktifkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Negeri Pahang Sim Chon Siang berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang telah melaksanakan 90 Jualan Rahmah bermula Januari hingga Jun lepas.

“KPDN akan meneruskan pelaksanaan Jualan Rahmah di seluruh 14 Parlimen di Pahang dan dua kali setiap bulan sehingga Dis 2023… mana-mana Ahli Yang Berhormat nak buat Jualan Rahmah hubungi saya,” katanya ketika menjawab soalan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) yang ingin tahu model pelaksanaan Jualan Rahmah dan kawasan DUN mana yang sudah dan belum dianjurkan.

Sumber: BERNAMA

The post 79 Menara Telekomunikasi Telah Siap Dibina Di Pahang appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*