AGC Tolak Represetasi Azlan Man Kaji 10 Pertuduhan

representasi azlan man 10 pertuduhan

AGC Tolak Represetasi Azlan Man Kaji 10 Pertuduhan

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man untuk mengkaji 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa AGC menolak representasi yang dihantar pihak pembelaan pada 9 Nov tahun lepas.

“Prosiding hari ini untuk maklumkan mengenai keputusan representasi dan untuk pengetahuan mahkamah representasi tersebut telah diterima dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara, namun ia ditolak.

“Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan yang bermula 18 Julai ini dan beberapa tarikh lain,” kata Noralis pada sebutan kes itu hari ini yang turut dihadiri peguam Muhammad Adam Burhanudeen mewakili Azlan.

Menurut Noralis representasi itu ditolak pada 20 Nov tahun lepas.

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes pada 14 Jun ini untuk pihak-pihak yang terlibat mengemas kini dokumen atau fakta serta pernyataan saksi.

Pada 10 Nov tahun lepas, Azura menetapkan perbicaraan selama sembilan hari pada 18 dan 19 Julai, 1 dan 2 Ogos serta 19 hingga 23 Ogos 2024.

Pada 10 April 2023, Azlan, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, di Kangar, antara Disember 2013 hingga Disember 2017.

Bagi semua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 12 April 2023, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

BACA: Jangan Terkeliru, Rupanya Ini Beza Kedua-dua Logo UiTM Ini

Sumber: Bernama

The post AGC Tolak Represetasi Azlan Man Kaji 10 Pertuduhan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*