airasia academy, MyCreative Ventures Bekerjasama Perkasa Pembangunan Diri Rakyat Malaysia Melalui Program Bina Kerjaya

airasia academy, cabang teknologi pendidikan dan kepimpinan Capital A, telah mengumumkan ia secara rasmi menjalin kerjasama dengan MyCreative Ventures, sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia yang dimandatkan untuk menyokong industri kreatif tempatan, dalam memperkasa pembangunan diri dalam kalangan rakyat Malaysia melalui Program Bina Kerjaya.

Kerjasama ini juga adalah sebahagian usaha syarikat itu dalam meningkatkan kecekapan pasaran pekerjaan di Malaysia dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan oleh tenaga kerja tidak formal dan masa hadapan dalam mendapatkan pekerjaan formal di dalam landskap pekerjaan dinamik hari ini, sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Program Bina Kerjaya akan menawarkan peluang latihan khusus kepada tenaga kerja kreatif Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pemasaran digital, kejuruteraan perisian, infrastruktur awan, keselamatan siber, analisis data dan ekosistem produktiviti Google.

Melalui kerjasama ini, para peserta akan mendapat akses kepada pendidikan komprehensif yang akan meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran mereka.

Sebagai rakan strategik dalam usaha ini, MyCreative Ventures akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan Program Bina Kerjaya, di samping menyokong usaha pemasaran dalam menjayakan program ini.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Aireen Omar, Presiden (Pelaburan & Usaha Niaga) Capital A berkata: “Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk membuka peluang untuk setiap individu.

“Sejak penubuhan kami, airasia academy telah memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dalam sektor pendidikan konvensional dengan menawarkan pilihan yang lebih mudah untuk kursus yang mempunyai permintaan tinggi, terutamanya dalam menyokong keperluan Malaysia untuk mengisi kekosongan IR 4.0.

“Kami berhasrat untuk menyumbang lebih banyak, terutamanya melalui perkongsian strategik bersama-sama MyCreative Ventures ini, dalam memastikan bakat kreatif Malaysia memperoleh kebolehpasaran yang tinggi serta berpengetahuan dalam kemahiran teknologi, selaras dengan perkembangan medium kreatif pada masa kini.”

Zainariah Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures berkata: “Kami berbesar hati untuk menjadi rakan strategik airasia academy dalam Program Bina Kerjaya ini. Sebagai sebuah organisasi yang komited dalam menyokong industri kreatif di Malaysia, kami memahami kepentingan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang relevan supaya mereka berupaya menjadi tenaga kerja kreatif yang lebih pelbagai dan mampan untuk masa hadapan.

Industri kreatif di Malaysia dipenuhi dengan bakat serta potensi yang besar, dan ia menjadi tanggungjawab kami untuk memupuk dan menyokong generasi profesional kreatif akan datang. Kerjasama dengan airasia academy ini membolehkan kami memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi dalam memperkasakan rakyat Malaysia, dan kami mengalu-alukan impak positif yang akan dibawa oleh kerjasama ini pada masa hadapan.”

airasia academy dan MyCreative Ventures juga menyatakan hasrat masing-masing untuk meneroka inisiatif kolaborasi lain selain Program Bina Kerjaya ini pada masa hadapan, sejajar dengan objektif bersama mereka dalam mempromosikan pembangunan diri dalam kalangan warga Malaysia.

airasia academy mengalu-alukan para penggiat industri kreatif, pihak berkepentingan dalam ekonomi gig, serta rakan-rakan media untuk bersama-sama syarikatnya dalam melahirkan tenaga kerja yang lebih mahir dan berkemampuan. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif teknologi pendidikan serta program yang ditawarkan, layari airasiaacademy.com.

The post airasia academy, MyCreative Ventures Bekerjasama Perkasa Pembangunan Diri Rakyat Malaysia Melalui Program Bina Kerjaya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*