Amanah Raya Berhad & Syarikat Perumahan Negara Berhad Meterai Perjanjian Strategik Bantu Pemilik Rumah Mesra Rakyat Terima Produk Perancangan Pewarisan

Putrajaya, 5 April 2024 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) hari ini telah memeterai Perjanjian Kolaborasi Strategik dengan tema “Amanah Terpelihara, Kediaman Terbina”, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri Malaysia hari ini.

Perjanjian ini bakal memanfaatkan rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000.00 yang berjaya memohon Rumah Mesra Rakyat SPNB, di mana pemilik akan secara automatik ditawarkan produk-produk terpilih AmanahRaya sebagai Perancangan Pewarisan seperti Hibah dan Wasiat ke atas rumah tersebut.

“AmanahRaya, yang diberi mandat sebagai Pemegang Amanah rakyat Malaysia lebih dari 100 tahun, berbangga untuk mengadakan kolaborasi strategik dengan SPNB ini.

Inisiatif ini akan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan melaksanakan Perancangan Pusaka dan Pengurusan Harta melalui instrumen Hibah dan Wasiat untuk memelihara harta pusaka bagi waris-waris dan penerima yang berhak.

Majlis menandatangani perjanjian. Dari kiri (duduk): En Jack Yap Ngee Heong, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, AmanahRaya, En Ahmad Feisal Sulaiman Khan, Pengarah Urusan Kumpulan, AmanahRaya, En Zahanuddin Bin Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif (Memangku), SPNB, Encik Abdul Hamid Bin Abdullah, Pengarah Kewangan, SPNB. Berdiri (dari kiri): Datuk Husam Bin Musa, Pengerusi SPNB, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Idrus Harun, Pengerusi AmanahRaya.

Ini dapat memastikan kebajikan waris-waris yang bakal ditinggalkan oleh pemilik rumah tersebut. Ia juga sejajar dengan kerangka Malaysia MADANI kerajaan kini,” kata Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Idrus Harun.

“SPNB adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan dan diasaskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan dasar perumahan negara.

Melalui kerjasama ini akan memberikan nilai tambah kepada produk SPNB terutamanya Program Rumah Mesra Rakyat dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa akan datang dengan bayaran serendah RM1,000.00 sahaja.

SPNB akan melaksanakan sebanyak 3,500 unit RMR pada tahun ini. Sehingga hari ini, SPNB telah melaksanakan sebanyak 66,195 unit di seluruh negara,” kata Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Encik Zahanuddin Kamarudin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Idrus dan Datuk Husam.

AmanahRaya dan SPNB adalah agensi milik penuh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Kementerian Kewangan Malaysia.

The post Amanah Raya Berhad & Syarikat Perumahan Negara Berhad Meterai Perjanjian Strategik Bantu Pemilik Rumah Mesra Rakyat Terima Produk Perancangan Pewarisan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*