Anak Kena ‘Usik’ Di Sekolah, Apa Hak Ibu Bapa Kena Tahu

“Alah, kawan saja mengusik tu, jangan ambil hati.”

“Kalau awak tak mula dulu, takkan kawan nak buat macam tu.”

“Biasalah budak-budak, esok lusa berbaik lah tu.”

Mungkin ini antara kata-kata yang digunakan untuk ‘memujuk’ anak-anak supaya jadi lebih kuat apabila ‘diusik’ kawan. Sedar tak sedar, ia seakan menafikan perasaan dan hak anak untuk menuntut keadilan.

Mungkin ada yang belum tahu, sebenarnya tindakan yang dianggap kecil boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada jiwa anak-anak. Biarpun tidak kelihatan parut pada fizikal, perlakuan ini memberi kesan kepada emosi dan mental anak-anak.

Malah, ada antara mangsa yang takut mengadu atau tidak tahu ke mana harus diajukan kesusahan. Sedar tak sedar, anak yang dahulunya ceria, tiba-tiba berubah muram dan tidak mahu ke sekolah. Bila disiasat, rupanya sudah lama memendam rasa akibat diperlecehkan di sekolah.

Atas inisiatif Kementerian Pendidikan mengatasi masalah ini, pelbagai platform telah disediakan bagi memudahkan mangsa melaporkan sebarang kes perlecehan ke atas mereka. Selain mengadukan kepada guru sekolah, mangsa dan ibu bapa kini boleh membuat aduan di portal rasmi  secara langsung kepada kementerian.

Ibu bapa juga boleh menghubungi talian khas aduan di 03-88849325 atau menghubungi WhatsApp di talian 0148009325. Malah, sekiranya salah laku melibatkan pihak atasan seperti guru, mangsa atau keluarga boleh adukan secara terus ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM di sini.

Malah, bagi kesalahan seperti gangguan seksual, ibu bapa seharusnya terus melaporkan kes tersebut kepada pihak polis untuk siasatan.

Menurut peguam, Nor Zabetha, bagi kes gangguan seksual, pelaku boleh disiasat di bawah Seksyen 354 yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun penjara atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali. Malah, remaja yang melakukan kesalahan ini juga boleh didakwa di mahkamah juvana.

“Mungkin kita salah anggapan, kalau hendak buat laporan polis kena perbuatan paling dahsyat seperti meraba buah dada. Tetapi tidak sebenarnya, banyak juga perlakuan boleh menjerumus ke arah kesalahan dibawah Seksyen ini, katanya dalam satu kiriman di Facebook.

“Buat laporan polis dahulu, biar polis yang siasat dan tentukan. Jika ada kes akan dibawa ke mahkamah dan ada dakwaan. Pun begitu, kita perlu mempertahankan anak kita.

“Orang kacau anak kita, takkan kita hendak berdiam diri sahaja. Takkan kita hendak redha. Ambil tindakan. Pertahankan hak. Jangan kita diam,” tambah beliau lagi.

Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek memandang serius isu ini dan menyifatkan ia sebagai salah satu daripada tiga dosa besar di peringkat KPM.

Menurutnya, dua lagi kesalahan serius yang tidak akan dikompromi kementerian adalah gangguan seksual dan perkauman.

Bagi mengatasi isu-isu tersebut, KPM telah mewujudkan garis panduan khusus bagi mewujudkan ekosistem yang selamat di sekolah.

“Penumpuan garis pelancaran ini adalah untuk memelihara ‘human dignity’ atau maruah manusia serta mengelakkan penindasan terhadap maruah ini daripada berlaku dalam ekosistem sekolah kita,” ujarnya sewaktu Program Sahsiah Terbilang Hentikan Buli Membentuk Anak Yang Baik Lagi Cerdik di Pulau Pinang, September lalu.

“Kita berharap seluruh warga KPM memberi komitmen dalam pelaksanaan garis panduan ini bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

The post Anak Kena ‘Usik’ Di Sekolah, Apa Hak Ibu Bapa Kena Tahu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*