Anggota polis trafik maut kemalangan

KOTA SAMARAHAN –  Seorang anggota polis trafik maut apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan Perodua Kancil di Kilometer 11, Jalan Datuk Mohd Musa di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.11 malam tadi.

Katanya hasil siasatan awal, kejadian berlaku apabila motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa berlanggar dengan Perodua Kancil yang hendak memasuki simpang.

“Perodua Kancil terbabit yang dipandu seorang lelaki sedang bergerak dari arah Kota Samarahan hendak menuju ke arah Pasar Riyal.

“Semasa hendak masuk ke simpang, telah berlanggar dengan motosikal yang ditunggang mangsa yang bergerak lurus dari arah Kota Sentosa menuju ke Kota Samarahan, iaitu arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Brodie berkata mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Pemandu kereta terbabit pula tidak mengalami kecederaan.

Katanya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

The post Anggota polis trafik maut kemalangan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*