Apa Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak? Ini Jawapan Jabatan Mufti Negeri Selangor

hukum ibu bapa guna duit raya anak

Apa Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak? Ini Jawapan Jabatan Mufti Negeri Selangor

Setiap kali tibanya musim sambutan Aidilfitri, antara yang paling gembira dengan perayaan ini tentulah golongan kanak-kanak dan mereka yang masih belum bekerja.

Tradisi memberi duit raya oleh orang dewasa dan mereka yang sudah berkerja membolehkan dua golongan yang disebut di atas menjadi orang kaya sehari.

Biasanya, bagi kana-kanak yang masih kecil, duit raya yang mereka terima akan disimpan oleh ibu bapa masing.

Sesetengah penjaga akan membuat tabungan khas atau membuka akaun simpanan untuk diletakkan duit raya yang diterima oleh anak masing-masing.

Duit yang disimpan pula boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, misalnya sebagai dana tambahan sekiranya anak-anak menyambung pengajian kelak.

Namun begitu, tidak dinafikan ada segelintir ibu bapa ‘terguna’ atau sengaja menggunakan duit raya anak-anak untuk tujuan tertentu.

Situasi tersebut apabila berlaku sudah tentu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan orang awam. Persoalannya, apakah hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak?

Untuk menjawab persoalan tersebut, mari kita ikuti kupasan dan jawapan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor berkenaan isu ini.

Hukum Ibu Bapa Menggunakan Harta Anak

Ibu bapa dianggap sebagai wali atau pemegang amanah kepada harta anak yang belum cukup umur serta belum mencapai tahap rusyd (kematangan dalam menguruskan harta). Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 3:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ

Maksudnya: Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya.

Menurut Jumhur fuqaha daripada Imam Abu Hanifah, mazhab Maliki dan mazhab Shafi’i. Ibu bapa boleh menggunakan harta anaknya untuk tujuan peribadi sekadar keperluan sahaja. Mereka bersandarkan kepada beberapa hadis antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Umarah bin ‘Umair RA, ibu saudaranya pernah bertanya kepada Sayyidatina Aisyah RA:[1]

فِي حِجْرِي يَتِيمٌ أَفَآكُلُ مِنْ مَالِهِ فَقَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏: إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: Dalam rumahku (jagaanku) terdapat seorang anak yatim, adakah boleh aku memakan sebahagian daripada hartanya? Aisyah RA menjawab, sabda Nabi SAW: Sesungguhnya makanan terbaik yang dimakan oleh seorang lelaki ialah hasil usahanya, dan anak seseorang itu adalah termasuk daripada hasil usahanya.

(Riwayat Abu Daud)

Selain itu, sebuah hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah RA, bahawa seorang lelaki berkata:[2]

يا رسول الله إن لي مالاً وولداً وإن أبي يجتاح مالي. فقال عليه الصلاة والسلام : أنت ومالك لأبيك

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta dan seorang anak sedangkan bapaku memerlukan kepada hartaku. Sabda Nabi SAW: Kamu dan hartamu adalah untuk bapamu.

(Riwayat Ibn Majah)

Imam al-Nawawi menjelaskan makna hadis ini melalui penyataan berikut:

وقال الشافعي رضى الله عنه وأبو حنيفة ومالك: ليس للوالد أن يأخذ من مال ولده

الا بقدر حاجته

Maksudnya: Imam Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya melainkan kadar keperluannya sahaja.

Majlis Fatwa Jordan (Dar al-Ifta’ Jordan) menjelaskan makna hadis tersebut:[3]

لا يجوز تفسيره بأن الأب يملك مال ابنه على وجه الحقيقة، أو أن له التصرف فيه كيفما يشاء دون علم الولد ورضاه

Maksud: Tidak harus menafsirkan (hadis: أَنْتَ وَمَالُكَ لِأَبِيكَ) bahawa bapanya memiliki harta anaknya secara hakikat, atau dia berhak bertasarruf (menggunakannya) dengan bebas tanpa pengetahuan dan redha anaknya.

Walau bagaimanapun, keharusan ibu bapa menggunakan harta anaknya untuk tujuan peribadi mereka adalah terikat dengan kadar keperluan sahaja. Ini dijelaskan dalam hadis yang lain daripada Aisyah RA:

إن أولادكم هبه من الله لكم (يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ) وأموالهم لكم إذا احتجتم إليها

Maksudnya: Sesungguhnya anak-anak kalian adalah hadiah daripada Allah kepada kalian, sebagaimana firman-Nya: Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka harta mereka ialah harta kalian sekiranya kalian memerlukannya.

Oleh itu, ibu bapa tidak sewajarnya menggunakan harta anaknya secara mutlak untuk keperluan dirinya sendiri. Maka, dalam masalah ini, ibu bapa yang menggunakan harta anaknya boleh dipecahkan kepada dua tujuan ini iaitu:

  1. Tujuan kemaslahatan anak seperti untuk keperluan asasi anak berupa makan minum, pelajaran dan lain-lain. Harta anak yang digunakan untuk tujuan ini tidak perlu digantikan semula.
  2. Tujuan keperluan diri sendiri seperti membayar sewa rumah, bil elektrik, makan minum peribadi dan lain-lain. Bagi kategori ini, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak kecuali dalam keadaan terdesak. Namun, sekiranya ibu bapa menggunakan harta anaknya sedangkan dia tidak berada dalam keadaan terdesak, maka dia wajib menggantikannya semula. Ibu bapa adalah dianggap meminjam (qard) harta anak.

Bagi kategori kedua, ibu bapa yang berada dalam keadaan miskin dan terdesak hanya boleh menggunakan duit raya anak untuk tujuan peribadinya walaupun tanpa izin anak. Namun penggunaannya hanya dibenarkan dengan kadar urf (kebiasaan) secara ma’ruf. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 3:

وَمَن كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَن كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya.

Menurut Ibn Hajar al-’Asqalani, yang dimaksudkan dengan ma’ruf ialah mengikut kadar kebiasaan.[4] Boleh difahami daripada kadar kebiasaan ialah untuk tujuan keperluan hariannya seperti keperluan makan minum, tempat tinggal dan seumpamanya tanpa berlebih-lebihan dan bermewah-mewah.

Kesimpulan

Duit raya anak yang diberikan kepada anak adalah hak dan milik anak. Manakala ibu bapa bertindak sebagai pemegang amanah. Hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak boleh disimpulkan kepada tiga keadaan:

  • Harus digunakan untuk maslahat anak dan tidak perlu digantikan.
  • Harus digunakan untuk tujuan peribadi ibu bapa walaupun tanpa izin anak sekiranya ibu bapa dalam keadaan terdesak dan memerlukan namun ia terhad kepada kadar keperluan sahaja tanpa bermewah-mewah.
  • Harus digunakan duit tersebut untuk tujuan peribadi walaupun ibu bapa tidak berada dalam keadaan terdesak, namun ia berstatus qard (pinjaman) dan perlu digantikan semula.

Dinasihatkan kepada ibu bapa agar duit raya anak disimpan dengan baik bagi tujuan masa depan anak sama ada dalam akaun bank, Tabung Haji dan sebagainya.

BACA: Ini 7 Gunung Berapi Paling Aktif Di Indonesia

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor

The post Apa Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak? Ini Jawapan Jabatan Mufti Negeri Selangor appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*