Apa Hukum Jual Beli Haiwan Yang Haram Dimakan? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

hukum jual beli binatang haram dimakan

Apa Hukum Jual Beli Haiwan Yang Haram Dimakan? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari daripada terlibat dalam aktiviti perniagaan, sekurang-kurangnya berperanan sebagai pembeli.

Menariknya, pada hari ini, hampir semua produk atau barang ada dijual dalam pasaran. Malah, kita juga tidak memerlukan masa yang lama untuk mencari jika berkehendakkan sesuatu.

Namun begitu, sebagai penganut agama Islam, baik penjual atau pembeli, kita dipandu dengan ketetapan agama yang ditetapkan dalam urusan perniagaan.

Antaranya perkara yang selalu dibangkitkan adalah hukum berjual beli hidupan yang haram dimakan.

Persoalan berkenaan kemudian diajukan oleh seorang individu kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum menjual beli haiwan yang haram dimakan? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.”

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian tampil menjawab persoalan tersebut secara terperinci menerusi laman webnya. Baca jawapan Pejabat Mufti Wilayah dibawah.

Jawapan Ringkas

Hukum jual beli binatang yang haram dimakan adalah sah sekiranya terdapat manfaat lain seperti digunakan untuk tujuan perubatan, berburu, mengawal harta benda, dan dijadikan tunggangan, selama mana ia tidak menyalahi syarat sah jual beli yang lain.

Sekiranya binatang itu tidak melepasi syarat sah jual beli iaitu tidak suci seperti babi dan anjing, tidak boleh dimanfaatkan seperti binatang buas dan binatang perosak, tidak dapat diserahkan kepada pembeli seperti burung yang terbang bebas dan tidak diketahui kondisinya, maka jual beli menjadi haram dan tidak sah.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebagaimana maklum, perbuatan jual beli pada asalnya adalah harus selagi mana ia tidak mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam melakukan transaksi jual beli, terdapat beberapa rukun tertentu dan setiap rukun mempunyai syarat-syaratnya yang wajib ditepati agar akad yang dilakukan itu sah di sisi syarak. Sekiranya salah satu rukun dan syarat jual beli itu tidak dipenuhi, maka terbatal dan tidak sah akad jual beli.

Antara rukun jual beli ialah al-ma’qud alaih atau barang jualan. Islam mensyaratkan lima perkara bagi barang jualan untuk menjadikan jualan itu sah[1]:

  1. Hendaklah barang itu suci dan bukan najis.
  2. Hendaklah barang itu bermanfaat.
  3. Hendaklah barang itu boleh diserahkan kepada pembeli.
  4. Hendaklah barang itu dimiliki oleh penjual.
  5. Hendaklah diketahui jenis, kadar dan sifatnya oleh pembeli dan penjual.

Berdasarkan syarat-syarat ini, telah jelas bahawa barangan yang ingin diperjualbelikan wajib mempunyai manfaat atau boleh dimanfaatkan mengikut syarak. Merujuk kepada persoalan, binatang yang haram dimakan semestinya tidak dapat dimanfaatkan melalui pemakanan.

Namun begitu, manfaat tidak terhad kepada pemakanan sahaja, bahkan terdapat binatang yang dimanfaatkan untuk tujuan perubatan, berburu, memetik buah dan sebagainya.

Menurut Imam al-Syafi’i, setiap binatang buas yang tiada manfaat padanya seperti helang, burung hering, gagak putih dan kesemua binatang yang tidak halal dimakan dan tidak boleh digunakan untuk berburu seperti tikus, adalah haram dijual beli sama ada dalam keadaan hidup atau sudah mati dan tidak dikenakan bayaran ganti rugi ke atas orang yang membunuhnya. 

Imam al-Syirazi berkata:

ما لا منفعة فيه فهو كالحشرات والسباع التي لا تصلح للاصطياد والطيور التي لا تؤكل ولا تصطاد كالرخمة والحدأة وما يؤكل من الغراب فلا يجوز بيعه لأن ما لا منفعة فيه لا قيمة له فأخذ العوض عنه من أكل المال بالباطل

Maksudnya: “Sesuatu yang tiada manfaat padanya seperti serangga, binatang buas yang tidak boleh digunakan untuk berburu, burung yang tidak halal dimakan dan tidak dapat digunakan untuk berburu seperti burung hering Mesir, helang, dan jenis burung gagak yang tidak boleh dimakan, maka haram diperniagakan. Hal ini kerana sesuatu yang tiada manfaat adalah tidak bernilai. Justeru, mengambil hasil jualan daripadanya termasuk dalam memakan harta secara batil.”

Menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, binatang yang suci terbahagi kepada dua kategori:

1. Binatang yang halal dimakan. Jual beli binatang dalam kategori ini adalah dibenarkan sama ada ia hidup ataupun telah disembelih. Namun begitu, sekiranya binatang tersebut menjadi bangkai yang tidak disembelih, maka hukum jual belinya adalah haram kecuali pada hidupan laut dan belalang.

2. Binatang yang tidak halal dimakan. Ia terbahagi kepada dua jenis:

3. Binatang yang boleh dimanfaatkan seperti baghal, keldai, harimau bintang, harimau yang boleh dilatih berburu dan seumpamanya. Hukum jual beli binatang seperti ini adalah harus dijual beli ketika ia masih hidup namun haram sekiranya sudah mati.

4. Binatang yang tiada manfaat seperti ular, kala jengking, serangga perosak, binatang yang melata dan binatang-binatang buas atau liar. Menjual beli binatang jenis ini adalah tidak dibenarkan malah hasil pendapatan juga menjadi tidak sah kerana tiada sebarang manfaat padanya seperti tidak dapat dilatih, diajar membuat sesuatu, tidak dapat dijadikan tunggangan dan sebagainya.

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa burung yang boleh dimakan dagingnya seperti merpati atau puyuh dan yang dijual beli kerana keistimewaan warna dan bunyinya seperti burung merak dan burung starling, adalah termasuk dalam kategori binatang yang boleh dimanfaatkan dan sah diperniagakan.

Begitu juga sah jual beli binatang dengan tujuan memanfaatkan kulitnya namun hanya dibenarkan setelah ia mati dan bukan semasa hidup.

Terdapat juga binatang yang memberi manfaat selainnya seperti lebah yang diambil madunya, lintah untuk tujuan perubatan (menghisap darah orang yang sakit) dan juga cengkerik untuk memancing ikan.

Kesimpulannya, hukum jual beli binatang yang haram dimakan adalah sah sekiranya terdapat manfaat lain padanya seperti digunakan untuk tujuan perubatan, berburu, mengawal harta benda, dijadikan tunggangan, membuat sesuatu kerja dan berseronok dengan keindahan warna dan bunyinya selama mana ia tidak menyalahi syarat sah jual beli yang lain.

Sekiranya binatang itu tidak melepasi syarat sah jual beli iaitu tidak suci seperti babi dan anjing, tidak boleh dimanfaatkan, tidak dapat diserahkan kepada pembeli seperti burung yang terbang bebas dan tidak diketahui kondisinya, maka jual beli menjadi haram dan tidak sah.

BACA: Cybertruck Menang, Buat “Drag Race“ Lawan Porsche 911 Sambil “Towing” Porsche 911

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan 

The post Apa Hukum Jual Beli Haiwan Yang Haram Dimakan? Ini Penjelasan Mufti Wilayah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*