Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$112.46 Bilion Pada Akhir Ogos – BNM

rizab rasmi malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$112.46 bilion pada akhir Ogos 2023, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam kenyataan pada Jumaat mengenai Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Bulan Ogos 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjelaskan aset mata wang asing lain berjumlah US$1.7 juta.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Ogos 2023 tetap boleh guna,” jelasnya.

Menurut BNM mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, jangkaan serta prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah US$17.56 bilion.

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara,” tambahnya.

Bank pusat juga memaklumkan kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$22.89 bilion pada akhir Ogos 2023, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek, jelasnya.

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.23 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang, tambahnya.

Menurut BNM satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negera dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$369.5 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelasnya.

BACA: Fenomena Matahari Bertukar Jadi Warna Biru Gemparkan Penduduk Britain

Sumber: BERNAMA

The post Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$112.46 Bilion Pada Akhir Ogos – BNM appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*