Ayah Meninggal Di Hospital Bukan Di Masjid – Anak Kepada Arwah

ayah meninggal di hospital bukan di masjid

Ayah Meninggal Di Hospital Bukan Di Masjid – Anak Kepada Arwah

Anak kepada seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia ketika solat Asar di sebuah masjid mengatakan ayahnya menghembuskan nafas terakhir di hospital dan bukannya di masjid seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor Sinar Harian.

Nor Atikah Abd Rahman, 34, berkata ayahnya hanya pengsan dan bukannya meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku di Masjid Paya Luas pada Sabtu lalu.

“Sebenarnya ayah meninggal dunia di hospital bukan ketika solat di masjid,” katanya.

Jelas Nor Atikah, ayahnya, Abd Rahman Rapie disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Isnin selepas pengsan di masjid lima hari lalu.

Ujarnya, ayahnya yang juga seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) dikejarkan ke hospital selepas mengalami pendarahan otak.

“Sebelum ini arwah ayah sudah ada penyakit darah tinggi dan tidak sangka perkongsian video hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di Facebook saya tular.

“Bila dapat tahu tular, saya terkejut kerana tajuk yang dimuat naik oleh individu itu menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga ada sesetengah warganet menyalahkan jemaah dan warga masjid lambat memberikan pertolongan,” katanya.

Nor Atikah berkata demikian ketika bertemu Sinar Harian pada Khamis.

Anak kedua daripada enam beradik itu menyatakan keluarga terutama ibunya risau perkara tersebut boleh menjejaskan imej masjid itu.

“Sedangkan dalam hantaran saya sebelum ini, saya amat-amat menghargai bantuan yang diberikan oleh warga masjid yang banyak membantu serta menghantar arwah ayah ke hospital.

“Saya berharap dengan penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan yang timbul susulan penularan video tersebut,” tambahnya.

Nor Atikah turut mengatakan selepas ayahnya bersara, arwah bekerja sebagai kontraktor selain sering menunaikan solat di masjid setiap hari.

Kredit: Sinar Harian

Menurutnya, sebelum ini arwah juga pernah menyatakan hasratnya untuk menghembuskan nafas terakhir di masjid.

“Arwah ayah tegas bab agama lagi-lagi bab solat jemaah di masjid bagi anak lelaki. Zikir, tasbih sentiasa di tangan. Setiap pagi sebelum Subuh dia akan bangun awal untuk ke masjid dan akan mengetuk semua pintu bilik anak-anak, panggil untuk bangun solat berjemaah di masjid.

“Arwah ayah tiada tunjuk sebarang perubahan sikap cuma sebelumnya dia cakap nak berehat dari syarikat dan serahkan segala urusan syarikat pada adik lelaki…nak tumpu untuk ibadah dan kehidupan yang tak terikat dengan tekanan kerja,” jelas Nor Atikah yang bekerja sebagai kerani.

Sebelum ini, satu rakaman CCTV yang menunjukkan seorang jemaah lelaki yang dilihat seperti tidak menyedarkan diri ketika berada dalam keadaan duduk tahiyat akhir menjadi tular di media sosial.

Klip tersebut turut memaparkan beberapa jemaah haji yang terkejut dengan situasi tersebut cuba membantu lelaki yang terkaku itu.

Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut rebah dan dia didakwa meninggal dunia di masjid, lokasi kejadian.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Air Mata Hiba Rakan “Rider” Iringi Pengebumian Arwah Muhamad Hafiz

The post Ayah Meninggal Di Hospital Bukan Di Masjid – Anak Kepada Arwah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*