Azizulhasni Awang Jelas Isu Janji Belum Ditepati

azizulhasni janji belum ditepati

Azizulhasni Awang Jelas Isu Janji Belum Ditepati

Baru-baru ini, Juara Dunia Berbasikal Trek Keirin 2017, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan rasa terkilan selepas jaminan untuk mendapatkan persediaan terbaik di Malaysia masih belum ditepati.

Lapor Awani, pihak tersebut berjanji untuk memberikan sistem sokongan yang lebih baik dari Melbourne, namun sehingga kini masih sepi.

Oleh hal yang demikian, Azizulhasni bertindak untuk memberikan penjelasan penuh berkaitan perkara itu agar tiada salah faham berlaku.

Azizulhasni meluahkan penjelasan sebenar mengenai isu itu dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Baca penjelasan beliau di bawah:-

THEY DREW THE FIRST BLOOD

Gambar: FB Azizulhasni Awang

Merujuk kepada artikel di atas, saya terpanggil untuk memberikan penjelasan bagi mengelakkan berlakunya fitnah,salah faham dan untuk mereka di luar sana lebih faham apa yang berlaku. Sebenarnya, saya kalau boleh hendak menyimpan perkara ini dari orang ramai akan tetapi disebabkan sudah keterlaluan lamanya tanpa penyelesaian, dan juga tempoh hari wartawan hadir ke Velodrome dan merungkai segalanya, maka it’s all about time.

Dipendekkan ceritanya, saya kembali pulang ke tanah air dari pangkalan latihan (training base) di Melbourne pada penghujung Januari tahun ini. Setahun lebih sebelum saya pulang, saya telah dipanggil oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) yang berbincang dan memujuk akan perihal ini. Ketika itu, hanya tinggal saya dan Shah Firdaus yang berlatih disana dengan John Beasley dan kami didalam persiapan untuk temasya Olimpik Tokyo. Dengan jelas saya faham niat tersirat mereka adalah untuk menutup training base disana secara berperingkat.

Sirih tidak kisah untuk pulang ke gagang, asalkan support system di Malaysia nanti adalah setara ataupun lebih bagus daripada di Melbourne. Maka daripada hari itu, berlangsunglah berkali-kali perbincangan dengan saya dan wakil saya sehinggalah saya pulang ke tanah air pada awal tahun ini.

BACA: Bukan Barcelona & Al Hilal, Messi Sah Sertai Kelab Inter Miami

Malangnya, daripada perjumpaan pertama kali dan beberapa siri perbincangan selepas itu serta setelah pulang ke tanah air sehingga sekarang, masih tidak ada penyelesaian. Perbincangan dan perjumpaan dengan wakil saya telah berlangsung lebih 10 kali dan jawapan yang diterima amat mengecewakan. Tersangat tidak professional dan hanya membiarkan perkara tergantung dalam jangka masa yang amat lama. High performance sport apebenda macam ni! Sudah di nasihatkan untuk duduk berbincang bersama dengan saya dan beritahu terang-terang, apa yang boleh dibantu dan apa yang tidak, like a real gentleman, tapi sampai ke sudah tidak ada seorang pun yang datang berjumpa.

Bagi saya amat mudah, kalau tidak dapat support system yang bagus, lebih baik saya pulang berlatih di Melbourne. Hanya tinggal setahun lebih sahaja sebelum Olimpik Paris 2024. Bukan tidak suka berada di Malaysia, akan tetapi untuk atlet bertaraf dunia seperti saya, berlatih di Melbourne (buat masa ini) adalah lebih efektif dan disana saya boleh berlatih dengan tenang tanpa gangguan pelbagai perkara terutamanya politik sukan seperti ini.

BACA: Azizulhasni Awang Tarik Diri UCI Track Nations Cup

Pada perancangan awal, saya ingin pulang ke Malaysia for good selepas saya bersara dari sukan lumba basikal sepertimana yang dilakukan oleh lagenda skuasy kita Dato Nicol yang berkelana di Armsterdam sebelum ini. Tetapi selepas berbincang dan dipujuk oleh pihak MSN, saya redha. Demi pasukan dan demi negara saya turutkan.

Penting untuk di ingat juga, saya mempunyai keluarga dan keputusan yang dibuat untuk pulang ke Malaysia bukan suatu keputusan yang mudah, ianya melibatkan anak-anak dan isteri saya. Hanya mereka yang berkeluarga sahaja yang akan faham dengan situasi ini. Wallahi sampai ke hari ini anak-anak saya sentiasa bertanya kepada saya, kenapa mereka harus turut berkorban sama? Kenapa mereka harus be part of this? Mereka rindu kawan-kawan mereka di Melbourne dan mereka rindu cikgu-cikgu mereka disana. Bayangkan perasaan seorang bapa mendengar rintihan dari anak sedemikian rupa (melainkan bapa yang tak amik kisah tentang keluarga). Ramai juga yang sentiasa bertanya, anak-anak dan isteri ditanggung pihak MSN ke masa berlatih di Melbourne? Jawapannya tidak dan saya menggunakan duit sendiri (dari penajaan) untuk menanggung ahli keluarga saya sendiri. Saya tidak mempunyai masalah berkenaan itu kerana itu adalah tanggungjawab saya kepada keluarga.

Akan tetapi apabila pulang dan melihat keseluruhan keadaan ini, bagi saya ianya sangatlah tidak berbaloi dan seperti ‘moving backward’ pula. Lebih baik saya berlatih dengan aman disana dan hanya pulang berlatih dengan pasukan di Malaysia untuk training camp atau spesifik training sahaja seperti yang dipraktiskan oleh atlet pelbagai sukan di Eropah.

Tapi bukankah seluruh pasukan dan jurulatih John Beasley sudah berpindah ke Malaysia? Bagaimana Azizul hendak berlatih seorang diri disana kalau macamtu?

Selepas selesai pembedahan saya di Melbourne, John Beasley telah berhijrah ke Malaysia kerana itu yang termaktub didalam kontrak barunya selepas Olimpik Tokyo. Saya hanya seorang diri di Melbourne melakukan proses cardiac rehabs. Apabila sudah boleh mula berlatih, saya memulakan semuanya dari kosong seorang diri dan hanya dibantu oleh isteri. Sampai satu masa apabila saya sudah boleh mulakan latihan kayuhan di Velodrome, saya menumpang untuk berlatih bersama-sama dengan pasukan Australia disana. Mereka berbesar hati menerima saya dan melayan saya seperti atlet mereka. Saya menggunakan program latihan sendiri dan kadang-kala meminta bantuan jurulatih disana sekiranya saya memerlukan latihan spesifik menggunakan motorsikal (latihan kejar motor), semua ini tanpa menggunakan duit daripada pihak MSN pun. Untuk latihan di Gymnasium pula, saya terharu kerana jurulatih Gym lama saya iaitu Martyn Girvan yang mempunyai high performance gym disana telah menaja saya untuk berlatih di situ tanpa sebarang bayaran. Hasilnya saya kembali ke level dunia dalam jangka masa kurang satu tahun selepas pembedahan. Juga memenangi pingat perak di kejohanan UCI Track Nations Cup di Jakarta (dahulunya dikenali sebagai UCI World Cup) walaupun selepas setahun berehat dari competition.

BACA: Azizulhasni Sambar Emas Ketiga Dalam Tempoh 24 Jam Di Hong Kong

Lagi mengecewakan, masalah pengurusan seperti ini bukan kali pertama yang menimpa saya, sudah berkali-kali. Kalau atlet elit seperti saya pun kena macam ni, bayangkan atlet-atlet yang lain, memang kesian. Tak terkejutlah dengan pencapaian kontinjen kita di Sukan Sea baru-baru ini yang bagi saya punca ‘segalanya’ bukanlah dari atlet (atlet sentiasa di kambing hitamkan). Sebelum ini juga, pernah elaun saya di Melbourne lewat dibayar beberapa kali sampai ada yang lewat dibayar sehingga selama SETAHUN. Bayangkan tidak dibayar setahun (dekat oversea pulak tu) dan waktu itu pula saya tengah didalam persiapan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo. Saya menerima hak saya itu ketika saya sedang kaurantin di Kampung Pandan sebelum terbang ke Tokyo (always sedih bila ingat balik). Pembayaran hanya dibuat selepas saya (yang sangat tertekan) mengadu kepada menteri belia dan sukan ketika itu (yang sudah tentu terkejut dengan apa yang berlaku). Seperti silap mata, tiba-tiba hanya selepas beberapa hari saya menerima pembayaran elaun tersebut.

Ingat mudah ke jadi atlit berprestasi tinggi? Sentiasa berada didalam tekanan yang tinggi. Kena komited dengan latihan 110%. Kena jaga pemakanan dengan terperinci. Tidur dan rehatnya kena cukup. Sebolehnya nak elakkan dari sebarang kecederaan. Apabila nak melakukan sesuatu perkara (sebagai manusia biasa) sentiasa perlu fikir dahulu apa kesan dia kepada prestasi dan pencapaian. Ini baru perkara-perkara asas dan kita belum bercakap tentang yang lebih extreme lagi. Negara-negara maju lain sudah lama menerapkan elemen ‘marginal gains’ di dalam sukan prestasi tinggi negara mereka. Sekecil-kecil perkara mereka fokus dan bantu atlet elit mereka demi meninggkatkan prestasi di peringkat tinggi. Kita pula bagaimana? Sedih kalau saya nak cerita. Tanyalah mana-mana atlet, kalau boleh mereka hanya nak training, eat , sleep, perform and repeat. Itu sahaja ‘life cycle’ yang mereka mahukan. Sudah tentu mereka tidak mahu ada masalah-masalah yang tidak sepatutnya dan bila ada masalah, sudah tentulah akan mengganggu tumpuan dan fokus mereka. Lagi mahu cerita.

Atlet yang tidak mencapai KPI ataupun mempunyai masalah disiplin sudah tentu akan dibuang dari program latihan akan tetapi bagaimana pula untuk pegawai-pegawai yang mendajalkan saya didalam situasi ini? Adakah kerana bagi sesetengah pihak merasakan yang atlet itu ‘belong to the bottom of the food chain’? Adakah ini disebabkan oleh budaya kerja nak kena tekan baru kerja berjalan? Adakah corak kerja ala kadar penyebab segalanya? Tidak belajar dari kesilapan lepas ke? Macam mana nak maju ni? Tak malu ke kedudukan kita tercorot di Kemboja sampai di tinggal jauh oleh Singapura dari segi pungutan pingat? Kalau cara sebegini berterusan maka lebih banyak kerosakan akan berlaku di masa akan datang kepada sukan kita, tidakkah begitu?

BACA: Kerajaan Singapura Sahkan Jocelyn Chia Bukan Lagi Warganegara, Mohon Maaf Pada Rakyat Malaysia

Hidup saya tidak kacau orang pun, dan saya tidak mempunyai masa nak menyibuk hal orang lain. Saya hanya obses dengan karier saya, latihan saya, matlamat dan apa yang saya nak capai. Semua orang yang dekat dengan saya semuanya tahu dan faham benar. Hampir keseluruhan hidup saya hanya didedikasikan untuk sukan lumba basikal dan berkorban untuk negara.

Di Malaysia hanya ada tiga atlet yang pernah menang pingat emas di Kejohanan Dunia dan menjadi juara dunia untuk ‘Olympic Sport’ iaitu Cheong Jun Hoong dari sukan terjun ,pemain beregu badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juga saya. Saya juga sudah menang pingat Gangsa dan Perak di Sukan Olimpik, akan tetapi kenapa perkara seperti ini masih berlaku? Sejujurnya saya juga tidak faham kenapa asbabnya tetapi memilih untuk kekal istiqamah dengan perjuangan. Saya hanya menganggap ini adalah dugaan didalam karier saya dan juga roadblocks yang terpaksa saya tempuhi demi untuk mencapai kejayaan. Sedihnya, inilah realiti sebenar dunia sukan negara kita dan perkongsian ini hanyalah ‘the tip of the iceberg’.

Pucuk pangkalnya kita kena sedar, dunia ini hanyalah sementara sahaja. Mungkin kadang-kadang di dunia ni kita alpa bila kita ada kuasa, maka guna ikut suka hati. Kalau nasib baik dapat kifarah Allah didunia, tapi kalau nasib tak baik dapat pembalasan kelak di akhirat. Tak boleh lari mana pun. Pusing-pusing situ saja. Bukankah doa orang yang teranianya itu dimakbulkan oleh Allah? Sekadar ingat mengingati je, kita manusia ni banyak cacat celanya. Yang pandai akan belajar dari kesilapannya, yang jahil pula kekal hanyut dalam keegoannya.

Saya tahu saya banyak menyebut pihak MSN dalam penulisan ini. Saya harap pembaca tidak salah faham. Pihak MSN itu merujuk kepada beberapa individu yang terlibat didalam peristiwa ini. Ramai kawan-kawan saya di MSN dan saya tahu banyak mereka disana yang bagus kerjanya dan elok orangnya. Apa yang saya sebut di penulisan ini hanyalah merujuk kepada nila setitik yang memberi kesan besar kepada hidup dan karier saya. Bukannya seluruh organisasi. Tetapi nila setitik inilah yang dan merosakkan nama baik organisasi tersebut.

Sekarang perkara ini sudah dibawa kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan dan juga jawatankuasa Program Road to Gold, oleh itu saya tertunggu- tunggu untuk mendengar hasil keputusannya nanti.

NOT ME!

Saksikan hantaran penuh Azizulhasni di SINI.

Sumber: Azizulhasni Awang/Facebook

The post Azizulhasni Awang Jelas Isu Janji Belum Ditepati appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*