Banjir: 19 Penduduk Kampung Periuk Dipindahkan Ke PPS

banjir kampung periuk

Banjir: 19 Penduduk Kampung Periuk Dipindahkan Ke PPS

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Seramai 19 mangsa yang terjejas susulan banjir kilat di sekitar Kampung Periuk di Chow Kit, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah hari ini.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa Mohamad Riduan Akhyar berkata pihaknya dengan kekuatan lapan anggota bersama agensi penyelamat lain mengambil masa kira-kira dua jam untuk memindahkan kesemua mangsa terjejas.

Beliau berkata semasa kejadian, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sedang melakukan operasi pemantauan banjir di sekitar ibu negara susulan hujan lebat dan apabila sampai di lokasi terbabit mendapati air semakin naik.

“Proses pemindahan berjalan lancar dan semua mangsa telah ditempatkan di PPS. Keadaan semasa di sini hujan telah berhenti serta paras air juga semakin surut,” katanya kepada Bernama selepas selesai kerja pemindahan mangsa banjir di sini.

Kesemua 19 mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan 11 wanita termasuk empat warga emas.

BACA JUGA: Tak Sempat “Grad”, Dua Pelajar Siswazah USIM Antara Korban Serangan Israel 

Sementara itu, seorang mangsa Tuan Sharifah Tuan Long, 40, berkata ketika kejadian dia sedang meluangkan masa bersama anak-anaknya dan tiba-tiba mendapati paras air semakin naik.

“Hujan lebat dalam 30 minit saja, lepas itu saya dengar siren dibunyikan. Selepas itu, kami lihat pihak bomba dan agensi penyelamat lain tiba dan mengarahkan kami untuk keluar dan ditempatkan di PPS,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 40-an,  berkata kejadian hari ini agak mengejutkan kerana sudah dua tahun kampung berkenaan tidak mengalami banjir.

“Saya tidak jangka hujan lebat hari ini mengakibatkan banjir. Mahu tidak mahu kami sekeluarga terpaksa meninggalkan rumah dan mengikut arahan pasukan penyelamat sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Banjir: 19 Penduduk Kampung Periuk Dipindahkan Ke PPS appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*