Bapa Didakwa Rogol Dua Anak Kandung Sejak Enam Tahun Lalu

bapa rogol anak kandung

Bapa Didakwa Rogol Dua Anak Kandung Sejak Enam Tahun Lalu

MUAR (Bernama) — Seorang pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 19 pertuduhan merogol dan 11 pertuduhan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sejak enam tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-19, tertuduh yang berusia 53 tahun itu didakwa merogol dua anak perempuannya yang kini berusia 15 dan 12, di dua buah rumah di Bakri dan Jalan Jeram Tepi, Muar di sini, sejak 2018 dan kali terakhir pada 9 Julai lepas.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji itu semasa kedua-dua anaknya berusia 11 tahun.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-21 hingga ke-30 pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kedua-dua mangsa di lokasi dan masa yang sama dan bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi penyediaan fakta kes serta tarikh jatuh hukum.

Hakim Abu Bakar Manat kemudiannya menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang warga emas berumur 77 tahun dan anaknya, 21 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja pada 2017.

BACA: Bapa Dijatuhi Hukuman Penjara 54 Tahun, Rogol Anak Kandung

Mengikut pertuduhan, anak warga emas berkenaan yang ketika itu berusia 16 tahun terlebih dahulu merogol remaja perempuan berkenaan yang ketika itu berusia 15 tahun, di dalam sebuah kereta, di Jalan Kinabalu, Kluang, pada pukul 5.15 petang, 25 Mei 2017.

Selepas itu warga emas berkenaan mengambil giliran melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa sama, di kawasan lapang di Kampung Abdul Rahman Yasin, Kluang pada pukul 6 petang, dan hari yang sama.

Kedua-dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya mengenakan jaminan sebanyak RM12,000 terhadap tertuduh berusia 21 tahun dan RM15,000 kepada warga emas itu yang hadir ke mahkamah berkerusi roda, namun kedua-dua tertuduh gagal membayar jaminan.

Hakim menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen

Sumber: BERNAMA

The post Bapa Didakwa Rogol Dua Anak Kandung Sejak Enam Tahun Lalu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*