Bekalan Beras Cukup, Jangan Buat Pembelian Panik – Exco Johor

bekalan beras

Bekalan Beras Cukup, Jangan Buat Pembelian Panik – Exco Johor

JOHOR BAHRU, 20 Sept (Bernama) — Rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik terhadap beras kerana bekalan itu mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata penggunaan beras rakyat Johor untuk sebulan adalah sekitar 21,000 tan metrik berbanding bekalan sebulan sebanyak 23,000 tan metrik.

Beliau berkata secara keseluruhan, Johor mempunyai bekalan beras sebanyak 316,000 tan metrik untuk setahun, justeru seharusnya tidak timbul kerisauan tentang bekalan itu.

“Apa yang berlaku adalah pembelian panik apabila keluarga yang biasa beli sekampit beras sebulan, tiba-tiba membeli dua atau tiga kampit sekali gus.

“Ini termasuklah pengusaha makanan, peniaga kantin dan pengusaha katering kerana risau tiada bekalan, jadi mereka terus beli dalam kuantiti besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah di sini hari ini.

BACA JUGA: Jualan Rahmah Beras: Harga Beras Import Sekitar RM13 Hingga RM14 Bagi 5kg

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo dan Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Johor Mohd Alieff Sabeh.

Zahari berkata setakat ini, pihak berkuasa tidak menerima sebarang aduan berkaitan mana-mana pihak menyorok bekalan beras di negeri ini.

“Mungkin semasa mereka (pembeli) sampai di kedai, kebetulan stok baru habis atau stok baharu belum sampai tetapi data diterima daripada pelbagai agensi berkaitan tidak menunjukkan kekurangan bekalan yang serius.

“Setakat ini tiada terima laporan sorok beras, tiada tangkapan, mungkin dalam TikTok ada tetapi dalam laporan rasmi kepada KPDN tiada. Saya alu-alukan kalau rakyat atau pembeli yang tahu ada berlaku kes sorok beras, laporkan kepada KPDN,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan Johor telah menerima bekalan tambahan 100 tan metrik beras daripada beberapa agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang untuk mengatasi kekurangan bekalan tersebut di negeri ini.

Sumber: BERNAMA

The post Bekalan Beras Cukup, Jangan Buat Pembelian Panik – Exco Johor appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*