Benam seruan berbaur kebencian dengan berkasih sayang – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar membenam mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbedaan dengan sikap berkasih sayang juga rahmah.

Anwar berkata, Hari Krismas adalah hari besar buat penganut Kristian dan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum juga rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban untuk mengambil kesempatan mengeratkan silaturahim dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

“Membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah, tetapi setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.

“Semoga sambutan Krismas tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara Malaysia yang terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan,” katanya menerusi perutusan Hari Krismas 2022 di yang dikongsikan di platform media sosial hari ini.

Pada masa sama, Anwar turut berpesan agar rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati di jalan raya.

“Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk waspada dan berhati-hati di jalanraya. Selamat Menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.

BACA: Bantuan tunai RM300 setiap isi rumah fasa 1 diawalkan – Anwar

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*