Berita Gembira Buat Peminat Setia Kedah Darul Aman FC

ALOR SETAR: Skuad Kedah Darul Aman FC bakal kembali mendapat rentaknya apabila keseluruhan pemain utamanya kini kembali turun menjalani latihan bagi mempersiapkan diri menghadapi aksi Liga Super menentang skuad Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Tinjauan di padang latihan Sang Kenari petang semalam menyaksikan pemain utama memulakan kembali latihan seperti biasa di bawah kendalian Nafuzi Zain selepas memboikotnya sejak awal bulan ini.

Menurut Nafuzi, kehadiran semula pemain memberinya semangat untuk melakukan persiapan pasukan bagi menentang SPFC meskipun berdepan masalah cuaca dengan hujan lebat melanda Alor Setar petang semalam.

“Saya sangat bersyukur kerana pemain utama telah kembali menjalani latihan bersama pasukan di padang latihan dan sudah pasti kami mahu meneruskan usaha untuk memberi saingan dalam Liga Super.

“Walaupun tempoh latihan yang dilalui singkat dan hujan di sebelah petang, namun kehadiran semula pemain di padang latihan satu rahmat buat semua dalam usaha memperkuatkan kembali pasukan.

“Hari ini, walaupun latihan dalam keadaan hujan lebat, namun ia tetap satu kelegaan buat kami di barisan kejurulatihan, pihak pengurusan dan juga penyokong yang mahu melihat pemain kembali berlatih bersama pasukan,” katanya sebaik tamat latihan di padang latihan petang semalam.

Nafuzi juga berkata dari segi persediaan untuk menghadapi saingan Liga Super menentang SPFC, beliau mengakui pemainnya tidak berada dalam keadaan paling baik kerana sudah lama tidak berlatih termasuk tidak turun menentang KL City, Sabtu lalu.

“Dengan kondisi pemain terkini yang kurang dari aspek kecergasan, kami akan cuba sedaya upaya untuk mengatur strategi untuk kami bangkit semula dan kita kena yakin dengan usaha yang sedang dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama petang semalam, KDA FC turut menurunkan lima pemain senior terdiri daripada Irfan Zakaria, Ariff Farhan, Rizal Ghazali, Halim Saari dan Aiman Afif dalam pasukan KDA FC B menentang Sri Pahang dalam saingan Piala MFL yang berkesudahan tewas 2-3.

sumber: BH

“Penyertaan mereka bersama pasukan KDA FC B adalah sebagai usaha bagi meningkatkan tahap kecergasan masing-masing selepas lama tidak menjalani latihan,” katanya.