Bilik Sewa Sangkar Burung Diarah Untuk Dirobohkan

Bilik Sewa Sangkar Burung Diarah Untuk Dirobohkan

Satu notis dikeluarkan kepada sebuah premis bilik sewa sempit seperti ‘sangkar burung’ yang diarah untuk mengosongkan dan merobohkan bilik yang telah diubah suai dalam masa tujuh hari, lapor Sinar Harian.

Ia susulan serbuan ke atas premis itu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut diketuai oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

DBKL mengeluarkan notis itu kerana pemilik premis didapati bersalah di bawah Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Premis itu telah disahkan oleh Nga Kor Ming bahawa pengubahsuaian yang telah dilakukan oleh pemilik premis itu tiada kelulusan daripada DBKL.

“Serbuan ini mendapati banyak kesalahan yang dilakukan oleh pemilik premis bukan sahaja dari segi Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) tetapi juga menyalahi Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Unit Kawalan Bangunan DBKL sudah dikehendaki mengambil tindakan segera (keluarkan notis arah perobohan ‘partition’),” katanya pada sidang akhbar selepas serbuan di Taman Maluri, Cheras itu.

Bilik ‘Sangkar Burung’ Terbongkar

Pada 10 Oktober yang lalu, Sinar Harian telah membongkar kewujudan bilik sewa kapsul yang seperti ‘sangkar burung’ atau ‘liang lahad’. Bilik itu disewa dengan harga RM300 sebulan dan hanya boleh memuatkan sebuah tilam.

Bilik sewa yang terlalu sempit itu telah mengabaikan aspek keselesaan dan keselamatan. Kewujudan bilik seperti itu semakin meningkat di Lembah Klang ekoran kos sara hidup yang tinggi di bandar serta sikap tamak pemilik rumah yang hanya mahu mengaut keuntungan.

Berdasarkan undang-undang DBKL, sekiranya tiada sebarang tindakan oleh pemilik premis, kerja-kerja perobohan akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Selanjutnya, Kor Ming memberitahu bahawa notis menghapuskan bahaya kebakaran di bawah Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) telah dikeluarkan oleh JPBM.

Ini kerana, premis itu didapati diubah suai tanpa dilengkapi dengan kelengkapan menentang kebakaran atau pelepasan keselamatan kebakaran seperti yang dikehendaki undang-undang.

Pemilik Premis Dikenakan Tindakan

Pemilik premis akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 10 Akta 341 dan sekiranya ia tidak dipatuhi, pemilik akan berdepan dengan pendakwaan di mahkamah, menurut Kor Ming.

“Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 10 akta ini, pemilik boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya selain boleh juga dikenalan denda tambahan sebanyak RM100 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, pemilik premis didapati sanggup mempertaruhkan keselamatan dan nyawa orang lain demi mengaut untung daripada penyewa yang memerlukan tempat tinggal kos rendah, ketika serbuan dijalankan.

Tambah beliau, “Pemilik premis hanya membekalkan penyewa dengan sekeping tilam nipis, bantal lapuk, sebiji mentol dan satu ‘plug point’ dan bilik sekangkang kera.

“Bilik ini juga tiada sistem pengudaraan yang baik kerana tidak bertingkap. Hanya ada satu bilik air dan satu tandas yang tahap kebersihannya sangat meragukan untuk dikongsikan dengan 20 penyewa lain.

“Semua ini boleh mengundang kepada penularan penyakit berjangkit,” tambahnya.

Menurut beliau, disebabkan keadaan itu, penyewa-penyewa tidak mempunyai jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

Tambahan daripada beliau, “Seksyen 2(e) Akta 341 menetapkan bahawa bahaya kebakaran juga merujuk kepada jalan keluar yang tidak mencukupi dari mana-mana bahagian sesuatu bangunan untuk memberi perlindungan kepada penghuni atau orang sekiranya berlaku kebakaran.”

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Cara Mohon Residensi PR1MA, 7 Langkah Perlu Diikuti

 

The post Bilik Sewa Sangkar Burung Diarah Untuk Dirobohkan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*