Bukan ‘Miskin’ Semata-Mata, Ini Maksud Sebenar Asnaf

Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan asnaf?

Daripada segi pemahaman masyarakat, ia mungkin membawa maksud miskin harta di mana keluarga tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung keperluan hidup hingga memerlukan bantuan kerajaan.

Bagaimanapun adakah ia semata-mata hanya memfokuskan kepada mereka yang ‘miskin’ sahaja?

Kalau nak tahu, selain miskin, asnaf mempunyai lapan golongan yang berhak untuk menerima zakat. Jadi, sebelum kita pukul rata penerima zakat ini hanya untuk masyarakat miskin, mari kita fahamkan dahulu golongan yang lain supaya tiada salah faham berlaku.

Umum mengetahui, asnaf sememangnya telah disebut di dalam Al-Quran malah ia juga telah diterangkan dalam surah At-Taubah pada ayat 60:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

(Surah At-Taubah: 60)

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

Dalam ayat itu, ia menerangkan hanya golongan tertentu sahaja yang dapat menerima zakat. Jika sesuatu golongan itu tidak disebut, maka individu itu tidak wajib untuk mendapatkan zakat.

Pada 13 Mac 1999 takrifan asnaf telah ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-51 dan Bahagian Baitulmal telah berpandukan takrifan tersebut untuk menentukan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

Berdasarkan takrifan baharu, asnaf yang layak menerima zakat adalah terdiri kepada lapan jenis golongan iaitu:-

Fakir

Konteks fakir di sini ialah individu yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya, selain tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

Miskin

Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

BACA: LZS Kesal Asnaf Tinggalkan Rumah Kotor, “Tindakan Ini Akan Beri Kesukaran Asnaf Lain Pada Masa Hadapan..”

Amil

Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.

Muallaf

Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya) ia dibahagi kepada dua iaitu beragama Islam dan bukan beragama Islam.

Bagi yang beragama Islam, mereka yang baru memeluk agama Islam dan merupakan ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya.

Selain itu, ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang- orang di bawah pimpinannya.

Ia juga termasuk orang-orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh.

Manakala, buat bukan beragama Islam, individu itu boleh dipujuk supaya masuk Islam dan juga boleh dipujuk supaya tidak berbahaya kepada orang Islam.

Al-Riqab

Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada daripada segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

Al-Gharimin

Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.

Fisabilillah

Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

Ibnu Sabil

Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan.

Sumber: MAIWP

The post Bukan ‘Miskin’ Semata-Mata, Ini Maksud Sebenar Asnaf appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*