Jumlah Simpanan SSPN Capai RM15.81 Bilion Sejak Diperkenalkan, Terus Jadi Pilihan Ibu Bapa – Pengerusi PTPTN

Kuala Lumpur, 5 Oktober – Jumlah deposit Simpan SSPN mencapai RM15.81 bilion sejak diperkenalkan 19 tahun lalu, ujar Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim semasa melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN(BMS) 2023 di Sunway Pyramid Mall, Ahad lalu.

Katanya, pencapaian deposit Simpan SSPN ini sentiasa menunjukkan peningkatan ketara pada setiap tahun.

“Sehingga 31 Ogos 2023, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM15.81 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 6.04 juta akaun. Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik pilihan ibu bapa di negara ini,” kata beliau.

Jelasnya, PTPTN optimis BMS 2023 akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Malaysia berdasarkan hasil kutipan deposit yang memberangsangkan dalam tempoh lima tahun penganjuran program itu.

“Justeru, pada tahun ini, PTPTN mensasarkan jumlah deposit Simpan SSPN bagi BMS 2023 sebanyak RM220 juta. Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan,” ulasnya sekaligus menambah kejayaan program BMS sejak 2018 itu adalah penanda aras terbaik kepada PTPTN bagi merealisasikan matlamat mereka.

Pendeposit nikmati pelbagai keistimewaan

Ujar Norliza, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.

Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023.

Untuk makluman, Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 merupakan program signature PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.

Program tahunan yang diadakan semenjak tahun 2018 ini dilaksanakan secara on-ground event pada 28 September 2023 sehingga 1 Oktober 2023 di Sunway Pyramid Mall, Selangor pada 1 Oktober lalu.

Berbezanya tahun ini, BMS 2023 membawa kelainan apabila ia dilaksanakan menerusi konsep jelajah (road tour) merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia sepanjang bulan Oktober 2023 iaitu bermula 1 Oktober 2023 hingga 31 Oktober 2023, tambah Norliza.

BMS 2023 bertemakan “Robotik : Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan” dengan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda.

Konsep ini amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini. Ini selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN kepada para peminjam dan pendeposit Simpan SSPN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Hadiah hingga RM75,000

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, PTPTN Esport Challenge (PUBG Mobile), Simpan SSPN Got Talent, Robotik (Robomission), Robotik (Inovasi), Happy Hour, penampilan khas Didi & Friends, selebriti jemputan dan banyak lagi. Bagi memeriahkan lagi BMS 2023, Cabutan BMS 2023 diteruskan pada tahun ini dengan hadiah wang tunai berjumlah RM75,000 kepada seramai 66 pemenang.

BMS 2023 merupakan usaha pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

Turut hadir YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Lembaga Pengurusan PTPTN.

“PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai ‘Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara’,” kata beliau lagi.

Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2023, layari www.ptptn.gov.my/BMS2023.

The post Jumlah Simpanan SSPN Capai RM15.81 Bilion Sejak Diperkenalkan, Terus Jadi Pilihan Ibu Bapa – Pengerusi PTPTN appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*