Bunuh Pemandu e-Hailing: Seorang Lagi Anggota Polis Didakwa Di Tawau

pemandu e-hailing polis tawau

Bunuh Pemandu e-Hailing: Seorang Lagi Anggota Polis Didakwa Di Tawau

TAWAU, 11 April (Bernama) — Seorang anggota polis yang sebelum ini menjadi saksi kes berhubung pembunuhan pemandu e-hailing di Tawau pada Januari lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh bagi kes sama.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, 44, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki tersebut bersama enam individu yang telah dituduh, didakwa mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau pada 13 Jan lalu.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Muhamad Iskandar Ahmad, Muhammad Ilmami Ahmad, Low Win Hui dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Salah seorang tertuduh diwakili barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai ini.

Pada 8 Feb lalu, tertuduh bersama seorang anggota polis dan seorang orang awam diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan, manakala lima anggota polis dituduh di Mahkamah Majistret Tawau dengan niat bersama membunuh Nurman.

Pada hari sama, seorang pegawai kanan polis, 58, turut didakwa bersubahat dengan enam individu berkenaan untuk membunuh lelaki tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret sama hari ini, Dzul Elmy turut menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang di baca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, hari ini, Majistret Leona Dominic Mojiliu juga menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas enam tertuduh bagi pertuduhan membunuh mangsa yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

BACA: Dendam Kerana Pernah Dipatuk, Lelaki ‘Gigit’ Kepala Ular Sampai Putus

Sumber: Bernama

The post Bunuh Pemandu e-Hailing: Seorang Lagi Anggota Polis Didakwa Di Tawau appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*